Kementerian Pendidikan Lancar Buku Teks Digital Interaktif Pintar Untuk Kegunaan 2016

Last update: 20/11/2014

PUTRAJAYA, 20 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan akan melancarkan Buku Teks Digital Interaktif Pintar, gelombang kedua inovasi dan transformasi buku teks digital, yang dijangka dilaksanakan mulai 2016 hingga 2025.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia adalah kesinambungan daripada gelombang pertama transformasi buku teks sebanyak 313 judul, yang kini boleh diakses oleh murid, guru dan ibu bapa menerusi laman 1BestariNet.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata melalui penggunaan Buku Teks Digital Interaktif Pintar, proses pengajaran, pembelajaran, kolaboratif dan pentadbiran akan dijalankan melalui persekitaran pembelajaran maya (VLE).

"Inovasi ini juga merupakan antara usaha kementerian pendidikan menyelesaikan isu beg sekolah berat yang sering dibangkitkan ibu bapa pelajar sebelum ini," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Inovasi peringkat Kementerian Pendidikan di sini, Khamis.

Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa pelaksanaan buku teks digital itu tidak melibatkan kos tambahan kepada ibu bapa.

Sebaliknya, semua peralatan berkaitan termasuk Google Chrome Book diberi kepada sekolah untuk ditempatkan secara kekal bagi kegunaan murid-murid, katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyarankan Kementerian Pendidikan supaya memulakan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang pembangunan infrastruktur sekolah dan universiti bagi memastikan aspek penyediaannya relevan dengan keperluan abad ke-21.

Beliau berkata perancangan ke arah itu perlu dibuat daripada sekarang, dan antara perkara yang perlu diberi tumpuan ialah bentuk dan rupa sekolah, bilik darjah dan bilik kuliah.

Menurutnya R&D itu penting bagi memastikan apa yang dibina adalah selari dengan perkembangan kurikulum, pedagogi dan pengurusan keseluruhan bilik darjah dan bilik kuliah pada masa hadapan.

"Kajian dalam bidang itu perlu dipergiatkan kerana konsep konvensional memperluas akses pendidikan dengan membina lebih banyak sekolah, mungkin tidak relevan pada masa depan dengan adanya persekitaran pembelajaran maya," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan 2014 kepada Sekolah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim Johor Bahru, Johor; Sekolah Kebangsaan Seri Makmur Sabak Bernam, Selangor; Sekolah Tun Fatimah Johor Bahru, Johor dan Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu, Terengganu.

Sekolah berkenaan yang bertanding dalam kategori Sekolah Rendah Bandar, Sekolah Rendah Luar Bandar, Sekolah Menengah Luar Bandar dan Sekolah Menengah Bandar masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.

-- BERNAMA