Malaysia Diharap Iktiraf Pertubuhan Koperasi Se-Asean - Presiden Angkasa

Last update: 17/11/2014

PETALING JAYA, 17 Nov (Bernama) -- Malaysia yang akan menjadi pengerusi Komuniti Asean tahun depan diharap dapat mengiktiraf Pertubuhan Koperasi Se-Asean (ACO) sebagai sebuah badan rasmi yang memperjuangkan isu koperasi di rantau ini.

Presiden Angkasa Datuk Abdul Fatah Abdullah berkata ini kerana pada masa ini tiada platform khusus diwujudkan untuk membincangkan isu koperasi khususnya dalam kalangan negara anggota Asean.

Abdul Fatah dipilih sebagai Presiden ACO menggantikan Indonesia untuk tempoh 2014-2018 pada pemilihan pimpinan baharu di Bali pada 16 Sept lepas.

ACO ditubuhkan tujuh tahun lepas dan dianggotai badan-badan induk koperasi 10 negara Asean bertujuan merapatkan hubungan dan meningkatkan aktiviti kerjasama antara koperasi di rantau ini.

"Tugas saya kini adalah memastikan supaya ACO yang mempunyai 60 juta ahli koperasi di Asean didaftarkan di bawah Sekretariat Asean untuk kepentingan gerakan koperasi di negara-negara anggota," katanya kepada pemberita selepas program Bicara Koperasi di sini hari ini.

"Kita akan meminta bantuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam hal ini," tambahnya.

Abdul Fatah berkata sebagai presiden ACO yang baharu, beliau juga akan meningkatkan perdagangan antara koperasi-koperasi di negara Asean.

Antara strategi yang diambil ialah menganjurkan Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (Maccops) 2014 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 12 hingga 14 Dis.

"Kita ingin memperkenalkan produk kita di luar negara dan buat masa ini kita sedang menunggu pengesahan dari negara luar antaranya Singapura dan Thailand untuk menyertai karnival ini," katanya.

Karnival yang akan disertai 110 usahawan itu dijangka dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek.

-- BERNAMA