RTM Masih Beli Program Dari Penggiat Seni Tempatan - KP Penyiaran

Last update: 13/11/2014

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Radio Televisyen Malaysia (RTM) masih lagi membuat pembelian rancangan daripada penerbit tempatan dan akan terus berbuat demikian.


Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Abu Bakar Ab Rahim berkata bagaimanapun, pembelian akan dibuat dengan lebih berhati-hati mengikut keperluan dan perancangan yang lebih teliti, terutamanya ekoran teguran yang diterima dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.


"Pada masa ini RTM masih mengekalkan kuota pembelian program-program drama dan filem tempatan berbanding dengan pembelian program terbitan luar negara.


"Sepanjang tahun ini selain dari kejadian MH17 dan MH370, RTM juga telah menjadi penyiar siaran FIFA World Cup 2014 yang telah mengurangkan masa siaran drama dan program tempatan.


"Selain itu, RTM juga mempunyai program-program yang telah dibeli pada tahun-tahun sebelumnya yang sehingga kini masih belum disiarkan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.


Justeru, kata Abu Bakar, perkara itu telah menyumbang kepada pengurangan pembelian rancangan daripada penerbit tempatan sepanjang tahun ini.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas komen dan tulisan pelakon dan penerbit terkenal Datuk Rosyam Noor dalam ruangan Bipop bertajuk 'Pihak RTM tidak lagi membeli drama dari penggiat seni sejak Januari lalu, menyebabkan industri perfileman Melayu makin tenat'.


Katanya lagi RTM selaku stesen penyiaran kerajaan sentiasa berusaha untuk membantu industri perfileman negara dan menjadi antara pembeli utama program tempatan negara.


Mengenai perkembangan lain, pihaknya menyambut baik pengumuman Kementerian Komunikasi dan Multimedia baru-baru ini tentang penubuhan satu majlis perundingan industri kandungan kreatif untuk membincangkan isu-isu berkaitan industri itu demi kelangsungan pembangunannya.


"Selain mengalu-alukan produk baik dan berkualiti, saya juga sentiasa mengalu-alukan pandangan dan juga cadangan dari pihak industri mengenai bagaimana RTM dapat membantu perkembangan lagi industri kreatif negara," kata Abu Bakar.


--BERNAMA