PJJ UUM Secara Dalam Talian Mulai Tahun Depan

Last update: 12/11/2014

ALOR SETAR, 12 Nov (Bernama) -- Universiti Utara Malaysia (UUM) akan melaksanakan program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) secara dalam talian mulai tahun depan dalam usaha meningkatkan lagi mutu keberkesanan program itu.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata dengan adanya kemudahan teknologi maklumat yang pantas, sudah tiba masanya untuk UUM mempertingkat kursus terbuka dalam talian (MOCC) dengan digemblengkan bersama PJJ.

Katanya dengan adanya kursus dalam talian, pelajar tidak perlu hadir ke kelas kerana boleh mengikutinya dari tempat lain menerusi kemudahan Internet.

"Kami percaya dengan adanya kemudahan kursus online ini akan dapat mempertingkatkan lagi mutu keberkesanan PJJ kami. Tahun depan akan bermula. Apabila ditawarkan kursus itu nanti, pelajar bukan hanya dari Malaysia.

"Pelajar boleh ikuti program UUM dari luar negeri. Ini proses globalisasi pendidikan dengan adanya kemudahan teknologi," katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Graduan PJJ 2014 di sini Selasa malam.

Mohamed Mustafa berkata program PJJ UUM bermula sejak 1998 dan telah melahirkan 8,068 orang Alumni.

"Jumlah pelajar PJJ meningkat kepada 6,000 orang di seluruh negara. Kami ada pusat pembelajaran sendiri dan ada yang dibuat dengan rakan kongsi iaitu kolej swasta.

"Bagi kolej swasta kami kawal selia apa yg mereka buat supaya kualiti pengajian tidak berbeza. Mereka guna peperiksaan yang sama dan silibus yang sama, malah tenaga pengajar kami yang nilai kelayakan mereka," katanya.

Beliau berkata dengan adanya kursus PJJ secara dalam talian, UUM menyasarkan kira-kira 10,000 orang akan dapat mengikuti program PJJ dalam masa terdekat ini.

"Tujuannya untuk menyediakan satu platform pembelajaran sepanjang hayat kerana ada antara mereka tak boleh teruskan pengajian selepas tamat sekolah.

"Platform PJJ semakin dipermudahkan apabila teknologi maklumat telah wujud dengan kepantasan Internet. Kita dapati pembelajaran sepanjang hayat semakin penting, bukan lagi program yang dianggap lebih rendah daripada pengajian sepenuh masa," katanya.

-- BERNAMA