Siswa UUM Dan UM Ke Kemboja Dan Bangkok Februari Depan

Last update: 11/11/2014

SINTOK -- Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaya (UM) akan bekerjasama untuk menjalankan aktiviti kemasyarakat bersama rakyat Kemboja dan Bangkok Februari 2015.

Kerjasama ini membabitkan pelajar Kolej Kediaman Ibnu Sina (KKIS) UM dan Dewan Penginapan Pelajar (DPP) TM UUM.

Pengarah Projek Rentas Sempadan KKIS UM Ahmad Hafiz Kamaruddin, 27, berkata, "Jalinan kerjasama ini diadakan bagi menjalankan aktiviti kemanusiaan, pendedahan penjagaan kesihatan gigi, pemeriksaan kesihatan badan dan aktiviti kerohanian".

Katanya lagi kedua-dua universiti bersetuju untuk menganjurkan secara bersama dalam usaha memupuk semangat bantu membantu antara mahasiswa kepada masyarakat Kemboja dan Bangkok.

"Kerjasama dan penganjuran aktiviti secara bersama atau dikalangan mahasiswa di negara ini sudah menjadi kemestian tetapi penganjuran secara bersama diluar negara merupakan senario yang perlu diaktifkan dikalangan mahasiswa," ujarnya ketika ditemui semasa mengunjungi delegasi DPP TM UUM di kampus universiti ini.

Siswa semester tujuh Jurusan Mekanikal UM ini berharap jalinan kerjasama dan penganjuran seperti ini dapat diteruskan dimasa akan datang.

Dalam pada itu, Pengarah Projek DPP TM Mohd Sabree Ghazali berharap jalinan kerjasama dan perancangan yang diadakan ini akan membuahkan hasil dan menaikkan imej kedua universiti bukan sahaja dinegara ini malah diperingkat antarabangsa.

"Kami juga sedang mengusahakan pembabitan beberapa persatuan dikampus ini untuk menyertai program ini supaya matlamatnya tercapai," katanya.

Pengetua KKIS UM Prof Madya Dr Noor Zurani Md Haris ketika ditemui berkata, program bersama dengan DPP TM UUM ini menjadi langkah terbaik bukan sahaja dalam penganjuran program kebajikan dan merentas sempadan ini malah diharap menjadi jambatan bagi mengeratkan hubungan kedua universiti dalam penganjuran secara bersama dalam beberapa program lain dimasa akan datang.

Sementara itu, Pengetua DPP TM UUM Faizal Zulhumadi mengalu-alukan kedatangan KKIS UM dan bersedia menjalin kerjasama.

-- BERNAMA