Formula GeNexter Berkesan Rapatkan Golongan Muda Dengan Pemimpin - Najib

Last update: 08/11/2014

PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan penganjuran Karnival GeNexter Bakti 2014 sebagai formula yang amat berkesan bagi mendekatkan golongan muda untuk bertemu dan berkongsi idea dengan barisan pemimpin negara.

Perdana Menteri berkata program anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) itu dilihat mampu merapatkan hubungan pemimpin dengan generasi muda.

Karnival Genexter selama dua hari itu di Dataran Putrajaya di sini, bermula Sabtu, dianjurkan sempena Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN).

"Lebih menarik, melalui gabungan pelbagai idea, Gagasan 1Malaysia telah berjaya diterapkan dengan lebih jelas dalam aktiviti tahunan ini," kata najib dalam ucapan yang dirakamkan di majlis jamuan malam Bakti dan perasmian penutupan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat BN di sini, Sabtu malam.

Turut hadir di majlis tersebut, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor merangkap Yang Dipertua Bakti.

Di samping itu, Najib berkata beliau melihat Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat BN itu mampu membentuk persefahaman dan memupuk semangat muafakat dan kemesraan dalam kalangan isteri wakil-wakil rakyat BN di seluruh negara.

"Saya yakin dan percaya bahawa program sebegini akan menjadi dorongan dan perangsang kepada semua pihak.

"Saya doakan program tahunan ini akan dapat dilaksanakan lagi pada tahun-tahun yang akan datang dan Bakti akan dapat meneruskan legasi kecemerlangan dan terus mengorak langkah sebagai badan amal yang disegani di dalam dan luar negara,"katanya.

Sementara itu, Rosmah menyifatkan penganjuran program tahunan itu telah berjaya mencapai matlamatnya terutama dalam membentuk persefahaman serta memupuk semangat kemesraan ketika perlawanan sukan dalam kalangan isteri wakil-wakil rakyat BN dari seluruh negara.

"Saya percaya sepanjang kejohanan ini berlangsung, ia bukan sahaja berlaku di dalam suasana kesukanan, malahan dipenuhi dengan semangat kekeluargaan dan keharmonian, Alhamdulillah," katanya pada majlis itu.

Kira-kira 30,000 Gen Y dari seluruh negara disasar menyertai karnival itu.

-- BERNAMA