UUM Kendali Bengkel Media Untuk Felo PMB Kedah

Last update: 08/11/2014

ALOR STAR -- Felo Perbadanan Menteri Besar (PMB) Kedah menyertai Bengkel Media yang dikendalikan oleh Penyelaras Media Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Utara Malaysia (UUM) Samsudin Oli Mohamed di Wisma Negeri pada 30 Oktober lepas.

Pengurus Kanan Komunikasi Korporat PMB Kedah Syamsul Anuar Che Mey berkata, bengkel ini bertujuan sebagai persediaan awal sebelum mereka ditempatkan secara langsung dalam pentadbiran negeri.

Katanya, penempatan mereka diperingkat tinggi dalam kerajaan negeri dengan membantu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan anak syarikat dalam melaksanakan agenda Transformasi kerajaan negeri memerlukan pengetahuan, perhubungan, pengurusan yang berkaitan dengan Publisiti Media khususnya.

Oleh itu bengkel seperti ini perlu diadakan bagi memahirkan mereka untuk merancang dan mempromosikan program persidangan, bengkel, seminar, lawatan kenamaan, syarahan awam, kenyataan akhbar, siaran akhbar dan lain-lain yang berkaitan dengan Media ketika mereka bersama exco kerajaan negeri nanti.

"Saya melihat strategi Program Fellowship yang diketengahkan ini melalui tenaga graduan lepasan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) samada dari dalam atau luar negara pastinya dapat memantapkan pentadbiran kerajaan negeri dengan idea dan kebolehan mereka kerana rata-rata mereka terdiri daripada bekas mahasiswa yang aktif dalam aktiviti kokurikulum dan mempunyai bakat kepimpinan," ujarnya ketika ditemui.

Dalam pada itu beberapa peserta yang ditemui yakin dengan ilmu yang diketengahkan melalui bengkel ini dapat membantu mereka untuk memantapkan lagi sistem pentadbiran exco dibahagian masing-masing nanti.

Mohamad Amin Abd Rani 23, graduan UUM berkata, melalui bengkel ini beliau menyedari kejayaan sesuatu program yang dianjurkan akan diukur melalui publisiti dalam media samada diperingkat Dewan Undangan Negeri (DUN), Parlimen, negeri, kebangsaan maupun antarabangsa oleh itu program yang dianjurkan oleh PMB Kedah ini selari dari hasrat kerajaan negeri yang perlu mempromosikan majlis yang dianjurkan melalui media .

"Saya melihat dalam ceramah yang disampaikan jalinan dengan pihak media memerlukan kekuatan kerana banyak faktor yang perlu dilaksanakan seperti menyediakan kenyataan akhbar, jemputan, penyediaan Press Kit, penafian melalui media, siaran akhbar, berhubung dengan jurufoto serta jurukamera dalam merakamkan gambar mengikut kehendak mereka dan lain-lain yang berkaitan,” katanya ketika ditemui.

Manakala Muhd Hafizuddin Abdul Muthalib 23, graduan dari Universiti Kuala Lumpur berkata, walaupun dilihat mudah dalam penyampaian yang dilakukan dalam bengkel itu tetapi pelaksanaanya memerlukan komitmen yang tinggi kerana memerlukan kemahiran mengarang, memastikan format untuk siaran akhbar yang merangkumi kepala surat, nama, nombor telefon, alamat, laman sesawang, email, pegawai untuk dihubungi dan memilih tajuk tertentu agar menarik bagi media menyiarkannya.

"Kalau sebelum ini saya hanya mendengar konsep 5W + 1H tetapi hari ini saya memahami apa yang dimaksudkan yang bertujuan untuk mendapat jawapan kepada berita atau maklumat yang akan dihantar kepada pihak wartawan atau media," katanya.

Bagi Noor Addana Abu Bakar 23, graduan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) penyediaan bahan siaran akhbar atau kenyataan akhbar dalam dwi bahasa juga dilihat sebagai pendekatan yang menarik sekaligus menyedarkannya bertapa pentingnya bahasa melayu dan bahasa inggeris yang ditekankan oleh pihak universiti ketika pengajian dahulu.

"Dalam bengkel yang disertai ini saya menyedari bertapa pentingnya gabungan berita dan gambar yang mempunyai komposisi yang baik untuk dijadikan bahan bagi dihantar kepada pihak media,”sambungnya lagi.

Sementara itu graduan daripada Cardiff University Wales Muhammad Luqman Abdul Shakur 23 pula berkata melalui bengkel ini beliau menyedari untuk menghasilkan kenyataan media tidak perlu menghasilkan umpama teks ucapan, tesis mahupun jurnal tetapi bahasanya perlu terus dan ringkas.

Begitu juga dengan penyediaan kenyataan akhbar perlu dibuat sebaik sahaja selesai majlis supaya berita itu tidak basi.

"Walaupun singkat namun ilmu yang diketengahkan oleh penceramah yang berpengalaman membolehkan kami mempelajari bukan sahaja bertindak untuk exco tetapi juga menjadi perantara kepada Pusat Tanggungjawab lain bagi membantu mereka menghantar maklumat mengenai majlis yang akan dan telah dianjurkan," sambungnya lagi.

Dalam pada itu Penyelaras Media HEP UUM yang juga jurufotografi Samsudin Oli Mohamed yang membimbing mereka berharap ilmu yang dikongsi ini akan membantu mereka bukan sahaja untuk meningkatkan kualiti dalam kerjaya mereka malah dapat mencurahkan ilmu dan bakti kepada agama, rakyat, bangsa dan negara.

Sepanjang bengkel ini, Samsudin memberi bimbingan mengenai penulisan berita dan merakamkan gambar mengikut kehendak pihak media.

-- BERNAMA