Syarikat Kreatif Malaysia Mahu Bekerjasama Dengan Studio Animasi Amerika

Last update: 07/11/2014

Daripada Nani Rahayu Yusof

LOS ANGELES, 7 Nov (Bernama) -- Syarikat Malaysia yang menyertai Misi Pemasaran Khusus mengenai Kreatif, Multimedia dan Kandungan ke Los Angeles, Amerika Syarikat telah menggunakan peluang itu untuk mempromosi kandungan dan perkhidmatan mereka kepada pemimpin syarikat seperti Disney, Cartoon Network, Nickelodeon, Comcast Universal serta beberapa syarikat penerbitan bebas.

Melalui pertemuan perniagaan yang diuruskan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Perbadanan Pembangunan Multimedia di Los Angeles, syarikat Malaysia terbabit mempromosi produk mereka kepada eksekutif studio, penerbit, pengarah, pengedar, penyelia kesan visual (VFX), juruanimasi, pembiaya kewangan, agen dan penulis lakon layar.

Usaha itu dipercayai menghasilkan jualan bernilai RM103.3juta untuk animasi dan perkhidmatan pasca penerbitan VFX.

"Acara seperti ini adalah lebih berkesan kerana pembeli AS dijemput khas untuk mengadakan pertemuan dengan kami dan meningkatkan kemungkinan untuk mendapatkan tawaran perniagaan," kata Pengarah Inspidea Sdn Bhd, C.J See dalam satu kenyataan akhbar oleh Matrade LA.

Pandangan itu turut dikongsi Pengarah Eksekutif Giggle Garage Sdn Bhd, Zeno Gabing yang berkata, tanpa acara itu, tidak mungkin syarikat kandungan kreatif Malaysia dapat bertemu penggiat utama industri animasi AS.

"Syarikat AS terbabit datang ke acara itu hanya untuk bertemu kami," tambahnya.

Syarikat Malaysia itu juga menyertai pelbagai bengkel, persidangan dan pameran yang membolehkan mereka memperluas rangkaian hubungan dan mempromosi Malaysia sebagai destinasi kerja-kerja multimedia kreatif.

Misi terbabit juga menawarkan syarikat AS gambaran lebih dekat mengenai keupayaan dan kecekapan Malaysia dalam industri kreatif dan multimedia.

Ramai daripada mereka teruja dengan pelbagai peluang dan kemungkinan yang mereka temui ketika menyertai Seminar Kreatif dan Multimedia Malaysia itu.

Syarikat Malaysia juga berpendapat misi berkenaan perlu diteruskan pada masa depan.

Peserta AS di seminar itu yang sudah menjalankan perniagaan dengan syarikat Malaysia, telah berkongsi pengalaman positif dengan pihak lain, termasuk bagaimana mereka mampu mengurangkan kos dan mengembangkan keupayaaan teknikal.

Peluang yang wujud untuk syarikat Malaysia di pasaran AS untuk kandungan kreatif dan multimedia adalah besar.

Amerika Utara menguasai 42 peratus daripada keseluruhan pasaran animasi global yng dijangka berkembang daripada US$222.20 bilion pada 2013 kepada US$242.93 bilion pada 2016.

Misi Pemasaran Khusus di LA itu diadakan tepat pada masanya untuk syarikat Malaysia kerana kebanyakan daripada mereka telah berjaya membangunkan kebolehan dalam beberapa tahun lepas.

Permintaan untuk hiburan animasi juga telah berkembang dan ini membuka peluang kepada syarikat Malaysia untuk bekerjasama dengan penggiat AS.

Oleh itu, Malaysia dalam kedudukan baik untuk merebut peluang pertumbuhan dalam pasaran ini.

-- BERNAMA