Program Mantap IV Platform Terbaik Golongan Mahasiswa Kenali Dunia Wakil Rakyat

Last update: 06/11/2014

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Program Mahasiswa Turun Parlimen (MANTAP) IV dilihat menjadi platform terbaik untuk golongan belia dan mahasiswa memahami tugas dan peranan wakil rakyat di negara ini.

Pengerusi MANTAP IV Datuk Razali Ibrahim berkata program itu juga bertujuan melatih mahasiswa akan tugas sebenar anggota Parlimen dalam menguruskan kawasan mereka.

"Program ini telah bermula sejak 2011 dan edisi kali ini diadakan pada 28 September lepas dan berakhir esok yang membabitkan 103 orang mahasiswa dari pelbagai institut pengajian tinggi awam (IPTA)," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penutup MANTAP IV yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen, di sini Khamis.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBCC) Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Razali berkata program yang dilaksanakan BNBBC itu memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan pengalaman bekerja bersama wakil rakyat.

"Program ini disifatkan berjaya kerana peserta mampu menjalankan pelbagai tugas yang diberikan termasuk berdebat di khalayak ramai mengenai isu semasa," katanya.

Razali berkata terdapat 10 orang peserta telah ditawar bekerja bersama anggota Parlimen melalui skim khas selain ada juga yang telah dipanggil Jabatan Perkhidmatan Awam.

Sementara itu seorang peserta program itu, Muhammad Jumrat Minsun, dari Universiti Malaysia Sabah berkata program itu sangat bermanafaat untuk mereka mempersiapkan diri untuk menjadi seorang wakil rakyat kelak.

"Selaku anak muda, satu platform seperti ini perlu dikekalkan. Ia sangat bagus dalam menyalurkan maklumat kepada kami tentang bagaimana perjalanan Parlimen dan tugas anggota Parlimen," katanya.

Pada majlis itu, perdana menteri turut menyampaikan plak, sijil dan jam tangan di atas kejayaan peserta sepanjang program tersebut seperti personaliti, pemikir dan pemimpin terbaik.

Mohammad Nor Khasbi Jarkoni, 23, dari Universiti Malaysia Terenganu, pemenang Anugerah Personaliti Terbaik menyifatkan program itu memberi peluang kepada peserta merasai sendiri kepayahan dan kesusahan menjadi wakil rakyat.

"Saya sendiri belajar turun padang dan mendekati masyarakat termasuk di rumah panjang dan di kawasan pendalaman seolah-olah wakil rakyat sebenar. Memang mencabar dan satu pengalaman berguna," katanya.

-- BERNAMA