Pembangunan Industri Digital Perlu Diselaras Secara Sistematik

Last update: 05/11/2014

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Pembangunan industri kandungan digital di negara ini perlu diselaras secara sistematik bagi memastikan sasaran mewujudkan sektor ekonomi berasaskan teknologi komunikasi maklumat (ICT) tercapai.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan menetapkan sektor ekonomi berasaskan ICT mencapai kadar 17 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020.

Sehubungan itu, beliau berkata penegasan perlu diberikan kepada pembangunan industri kandungan seiring dengan usaha kerajaan merancakkan pertumbuhan industri berkenaan di Malaysia.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) semasa membentangkan laporan Bajet 2015 ada menyebut peruntukan RM100 juta di bawah dana Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) dan selain itu, ada beberapa dana lagi yang boleh digunakan untuk merancakkan pertumbuhan industri kreatif negara," katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 peringkat Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Menyentuh isu kebebasan media, beliau berkata Malaysia kini berada di tangga ke-147 seluruh dunia iaitu tahap yang boleh dibanggakan.

Ahmad Shabery berkata kerajaan berusaha menjadikan kebebasan media lebih menyeluruh dan ia dapat dilihat menerusi pelaksanaan beberapa langkah yang lebih telus serta terbuka.

"Di pihak kementerian, kita berusaha memberikan ruang yang lebih luas, termasuk perbahasan di Parlimen yang tidak lagi dianggap rahsia atau perlu disembunyikan.

"Boleh dilihat juga bahawa dalam beberapa rancangan disiarkan RTM, pihak pembangkang turut diundang untuk menyampaikan suara dan pandangan mereka. Ini antara usaha yang kita lakukan," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, kebebasan media bukan hanya mencakupi permit akhbar yang dikeluarkan tetapi turut dinilai daripada segenap aspek termasuk kebenaran untuk media membuat laporan.

"Kebebasan bukan sekadar ada permit atau tidak. Ia tidak menjadikan negara tersebut dilihat lebih tinggi. Ia mencakupi semua perkara, contoh tindakan undang-undang terhadap wartawan. Semua ini perlu dilihat dalam negara kita," katanya.

-- BERNAMA