Yuka Kharisma Pilih Malaysia Untuk Mulakan Karier Seni

Last update: 29/10/2014

Oleh Zaphne Philip

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Nama Yuka Kharisma mungkin masih belum sepopular rakan senegara Bunga Cinta Lestari dan Anggun Cipta Sasmi di dalam bidang hiburan di Malaysia, namun penyanyi negara seberang yang memiliki raut wajah yang jelita ini juga dianugerahi bakat yang unik.

Sesekali kedengaran suaranya seakan-akan Bunga dan Anggun, namun gadis kelahiran Acheh Utara ini mencipta nama dengan cara tersendiri tanpa meniru sesiapa.

Yuka pernah menyertai Indonesia Idol pada tahun 2008 namun tidak berjaya ke peringkat akhir, namun kariernya tidak terhenti di situ sahaja kerana selepas itu beliau mula mendapat undangan menyanyi semasa majlis-majlis makan malam di sekitar Jakarta dan Kuala Lumpur.

Karier Yuka mulai menyerlah apabila beliau telah diambil oleh Mentari Management sebagai artis naungan agensi tersebut pada tahun 2011.

Uniknya penyanyi ini, beliau juga berkebolehan mencipta lagu dan sudah menghasilkan dua single baharu dengan komposer ternama Indonesia Pay dan Dewiq yang pernah menghasilkan lagu untuk penyanyi terkenal Indonesia seperti Rossa, Agnes Monica dan Krisdayanti.

Impian Tercapai

Akhirnya impiannya direalisasikan apabila beliau berjaya menghasilkan dua klip video sendiri yang berjudul Kita Harus Percaya dan Dengan Tiada Luka.

Pencapaian ini lebih bermakna bagi Yuka apabila lagunya berjaya memasuki carta Redbox serta menambat hati peminatnya yang tersendiri, sekaligus menjadi permulaan beliau untuk menempa nama di Malaysia.

Ditanya mengenai pengalamannya ketika menjalani pengambaran video klip tersebut, Yuka menyatakan yang beliau diberi peluang membuat keputusan sendiri dalam pembikinan kedua-dua klip video tersebut.

"Mentari Management memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada saya, ini membuatkan saya berasa sangat bertuah sekali.

"Dalam klip video itu, saya berambut panjang, sepatutnya saya disuruh untuk memotong rambut sejak dua tahun lalu namun masih belum bersedia sehingga setelah tamat pengambaran barulah saya nekad dan menerima cabaran daripada Mentari Management," katanya kepada pemberita semasa majlis Pelancaran Video Muzik Yuka Kharisma di Redbox, baru-baru ini.

Kenapa Yuka Memilih Malaysia

Kata Yuka, baru-baru ini sahaja mereka berpeluang untuk melancarkan video muzik tersebut di sini kerana menghormati tragedi MH370 dan MH17.

"Selepas Redbox memberi kesempatan untuk pelancaran video, baru perancangan pelancaran video ini dimulakan, itupun secara tergesa-gesa kerana ini adalah masa yang paling baik dan sesuai," ujarnya.

Menurut Yuka, bapanya pernah bekerja di Petronas dan beliau sendiri pernah tinggal di Malaysia untuk beberapa tahun sehingga menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini.

"Saya juga mendapat sokongan daripada saudara saya iaitu Putra Aziz, dia juga salah seorang pengurus event," ujar beliau lagi.

Apabila ditanya tentang perancangan untuk berkolaborasi dengan artis-artis Malaysia, Yuka mengatakan ia perlu menunggu masa yang sesuai tetapi beliau ada menyatakan keinginan untuk berduet dengan penyanyi antarabangsa Malaysia, Yuna.

Sementara itu, pihak Mentari Management sedang mengusulkan supaya lagu Yuka dijadikan 'soundtrack' bagi filem di Malaysia.

Pelancaran Video Muzik Di Malaysia

Menurut Yuka, rezeki ada di mana-mana sahaja, memandangkan beliau telah dilamar oleh Mentari Mangement yang sememangnya ada di Malaysia, jadi beliau mulakan kerjaya di sini dahulu.

"Dimanapun kita berada, jika ada rezekinya maka tidak salahnya kita mulakannya, ianya tidak mengira sempadan," jelasnya.

Pelancaran video muzik Yuka yang diadakan di Redbox, The Garden, Sabtu lepas ternyata mendapat sambutan daripada para media dan artis tempatan sebagai tanda sokongan kepada beliau yang masih baru dalam bidang seni.

Selain tayangan eksklusif video muzik tersebut, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan istimewa dari Yuka dan sesi soal jawab bersama media yang kemudiannya diakhiri dengan sesi fotografi.

-- BERNAMA