400 Belia Berhimpun Untuk Forum Belia Di Sabah

Last update: 28/10/2014

KOTA KINABALU, 28 Okt (Bernama) -- Majlis Belia Sabah (MBS) akan menghimpunkan kira-kira 400 peserta terdiri daripada pelajar universiti, kolej, Badan Gabungan MBS dan persatuan belia di seluruh negeri untuk menghadiri Forum Belia: Celik Komuniti Asean, pada 15 Nov depan.

Timbalan Presiden MBS Nourman Rayn Awang Zaini berkata forum anjuran bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu akan diadakan di Dewan Resital, UMS.

"Objektif forum adalah mewujud dan memperkenalkan Komuniti Asean, memberi kefahaman tentang pembentukan Komuniti Asean 2015 selain menjadi medium penerangan dan perkongsian bagi mengenal pasti peranan, cabaran dan peluang belia di peringkat antarabangsa," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Nourman Ryan berkata pengisian forum melibatkan empat bahagian pembentangan kertas kerja iaitu Komuniti Asean: Cabaran, Prospek dan Persediaan Belia Malaysia; Komuniti Ekonomi Asean; Komuniti Sosio Budaya Asean dan Komuniti Politik dan Keselamatan Asean.

"Dalam meletakkan Malaysia sebuah negara maju adalah perlu untuk melihat dan memperluaskan hubungan dan kerjasama yang padu antara negara Asean dengan lebih efektif agar dapat memperkukuhkan ekonomi, politik dan sosiobudaya antara negara terlibat," katanya.

Nourman Rayn yang juga Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah (Pentadbiran) Pesuruhjaya Latihan Negeri Sabah itu berharap forum itu dapat memberi ruang dan peluang kepada pelajar dan anggota persatuan yang mewakili generasi muda memberi idea dan pandangan berhubung pelaksanaan komuniti Asean.

"Seterusnya, dapat memberi sudut pandang yang positif ke arah mencapai komuniti Asean dalam perencanaan masa depan Asean yang lebih berjaya," katanya.

Beliau yang juga Exco MBM berkata forum serupa turut diadakan di institusi pengajian tinggi awam lain iaitu zon utara (Universiti Sains Malaysia), zon timur (Universiti Malaysia Terengganu), zon selatan (Universiti Tun Hussein Onn Malaysia), zon tengah (Universiti Malaya) dan Zon Sarawak (Universiti Malaysia Sarawak).

-- BERNAMA