Kerajaan Tidak Sia-Siakan Bakat Belia Sertai Pertandingan Kemahiran Asean

Last update: 27/10/2014

Daripada Ahmad Erwan Othman

HANOI, 27 Okt (Bernama) -- Kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia
tidak akan membiarkan pembaziran bakat kemahiran dan pengalaman para belia yang pernah menyertai Pertandingan Kemahiran Asean (ASC), kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.

Beliau berkata bagi tujuan itu, satu alumni untuk kalangan peserta yang pernah mewakili negara pada ASC telah ditubuhkan hujung tahun lalu dalam usaha menjejak dan membantu membuka peluang kepada mereka untuk mengembangkan bakat.

"Idea menubuhkan alumni terjadi selepas kita pulang daripada Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) pada Julai tahun lalu di Leipzig, Jerman kerana tujuannya supaya anak yang mempunyai bidang kemahiran teknikal dan vokasional ini tidak hilang begitu sahaja dan akhirnya merugikan negara.

"Justeru sekarang ini, sebuah jawatankuasa di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah digerakkan bagi mengumpulkan belia mahir pelbagai bidang yang pernah mewakili negara suatu masa lalu dan kita telah menemui sebahagiannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada Isnin selepas beramah mesra dengan sebahagian peserta kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 51 belia daripada pelbagai institut kemahiran yang mengambil bahagian dalam ASC ke-10 di Pusat Konvensyen Nasional (NCC) di sini yang akan melabuhkan tirai pada Selasa.

Para pemenang yang meraih pingat emas dan perak daripada pertandingan ASC berpeluang mewakili negara ke WSC di Sao Paulo, Brazil Ogos tahun depan.

ASC diperkenalkan pada 1995 dan Malaysia menjadi tuan rumah ASC pada tahun pertama acara itu diadakan dan pada edisi ke-7 pada 2008.

Ia dianjurkan dua tahun sekali secara bergilir dalam kalangan negara-negara Asean untuk membangun dan meningkatkan tahap kemahiran belia dan pekerja ke taraf dunia.

Ismail yang juga Pengerusi Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia berkata menerusi penubuhan alumni ASC berkenaan, pihaknya telah menemui seorang daripada bekas peserta ASC yang kini merupakan seorang timbalan dekan di sebuah universiti swasta.

Katanya menerusi rekod berdaftar alumni JPK itu, ada antara bekas peserta kini telah menjadi usahawan selain makan gaji.

"Ini menunjukkan kebolehpasaran mereka menjadi tenaga mahir...mereka juga boleh membimbing anak muda yang akan membangunkan negara kita sepertimana yang disasarkan oleh kerajaan 50 peratus pekerja mahir menjelang 2020," katanya.

-- BERNAMA