Karnival Genexter Bakti Beri Peluang Gen Y Bertemu Pemimpin Negara

Last update: 24/10/2014

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Generasi Y (Gen Y) dari seluruh negara berpeluang bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin negara secara santai pada program Karnival Genexter Bakti 2014 yang akan diadakan di Dataran Putrajaya pada 9 Nov ini.


Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Datin Seri Rosmah Mansor berkata program anjuran Bakti itu memberi ruang kepada Gen Y untuk berinteraksi dan mengenali Perdana Menteri dan pemimpin negara dengan lebih dekat.


"Tiada meja VIP pada majlis tersebut sebaliknya kita akan makan secara santai dengan Gen Y yang hadir...kita akan bercampur gaul dengan mereka. Tiada formaliti. Menteri juga akan buat ucapan," katanya kepada Bernama.


Kira-kira 30,000 Gen Y dari seluruh negara disasar menyertai karnival itu yang akan bermula pada 8 hingga 9 Nov ini sempena Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional.


Karnival itu bertujuan memberi platform kepada Gen Y untuk membabitkan diri dalam aktiviti positif yang dapat membantu meningkatkan tahap kecekapan dan keupayaan kepimpinan, gaya hidup, mencungkil bakat, potensi Gen Y serta menjadi generasi bermaklumat.


Rosmah yang juga isteri Perdana Menteri berkata penganjuran program seperti itu diharap dapat memperkasakan lagi Gen Y ke arah kekuatan jati diri terhadap bangsa, negara dan agama seterusnya menyediakan pelapis pemimpin negara untuk masa hadapan.


"Selain itu, kita bermatlamat untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan semangat sukarelawan antara Bakti dan Gen Y," katanya.


-- BERNAMA