Gaya Sofistikated Pemakaian Shawl Serta Skaf

Last update: 17/10/2014

Oleh Zaphne Philip

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Pemakaian selendang bukan hanya untuk golongan hawa untuk menutup aurat namun ia juga menjadi pilihan bagi mereka yang ingin tampil dengan gaya sofistikated.

Justeru, Hawa Ghazzali Collection telah memperkenalkan pelbagai jenis selendang dan skaf yang menepati citarasa seiring dengan masa.

Rakan kongsi Hawa Ghazzali Collection yang hanya mahu dikenali sebagai Hanna berkata koleksi selendang dan skaf tersebut diimport khas dari luar negara.

"Kami mementingkan keselesaan dan kualiti kain disamping mengikut trend dan kehendak semasa.

"Seperti yang kita sedia maklum, kini sesiapa sahaja boleh mengayakan shawl dan skaf sebagai aksesori tambahan untuk kelihatan menawan. Di sini, kami juga ingin menekankan gaya serta pemakaian skaf dan shawl ala Brunei," katanya kepada Lifestyle and Youth baru-baru ini.

Jelasnya, orang Brunei mempunyai cara tersendiri dari segi pemakaian skaf serta selendang mereka.

"Selain menutup aurat, pemakaiannya juga klasik serta sofistikated. Cara pemakaian juga mudah dan sesuai untuk apa jua situasi.

Oleh itu untuk menghargai kecantikan kaum Hawa, Hawa Ghazzali Collection, yang terletak di Jalan U-Thant menganjurkan satu program khas untuk peminat pelakon Amar Baharin di samping memperkenalkan koleksi yang terkini.

Selain itu, katanya, Hawa Ghazzali Collection juga turut memperkenalkan gelang serta kasut yang direka khas.

-- BERNAMA