Forum Media CAPAM Sasar Timbulkan Kesedaran Belia Terhadap Komanwel

Last update: 16/10/2014

Oleh Farhana Poniman and Azzah Mohamad Som

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Forum media sulung Persatuan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) yang dijadualkan pada 21 Okt ini bertujuan menimbulkan kesedaran dalam kalangan belia mengenai Komanwel dan aktivitinya.

Ketua Komunikasi di Pejabat Ketua Setiausaha Negara Mohd Faidz Sanusi berkata forum yang diadakan bersempena Persidangan Dwitahunan CAPAM 2014 itu boleh dijadikan platform untuk menarik penyertaan belia dalam program berkaitan Komanwel.

"Majoriti penjawat awam ialah orang muda, justeru forum ini boleh menimbulkan minat dalam kalangan belia untuk lebih memahami Komanwel dan CAPAM, berkongsi amalan terbaik dan mempertingkat rangkaian kerja mereka di luar Malaysia.

"Memandangkan forum media ini terbuka kepada umum, kami menggalakkan pelajar, pengamal media dan penjawat awam menyertainya.

"Mereka boleh mendaftar dalam talian atau datang sahaja pada hari forum dan penyertaan adalah percuma," katanya kepada Bernama selepas ditemu bual menerusi program 'Hello on Two' yang disiarkan TV2, Radio Televisyen Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Datuk Yong Soo Heong yang dijadual menyampaikan ucapan menutup forum itu, berkata belia boleh mencetuskan idea baharu ketika berbincang dalam forum tersebut.

"Kami berharap orang muda akan mengambil peluang ini untuk memahami peranan persatuan kerana Komanwel bukan sekadar acara sukan yang dianjur empat tahun sekali," katanya.

Seorang daripada penceramah pada forum itu ialah John Spencer, pemegang amanah Tabung Amanah Media Kesatuan Akhbar Komanwel yang akan berbicara mengenai bagaimana media arus perdana dan media sosial boleh menimbulkan kesedaran tentang Komanwel dan aktivitinya.

Ini merupakan kali kedua Malaysia menganjurkan Persidangan Dwitahunan CAPAM selepas 16 tahun diadakan ketika era Ketua Setiausaha Negara Tun Dr Ahmad Sarji Abdul Hamid yang menjadi Presiden CAPAM bagi tempoh 1996-1998.

Persidangan tiga hari bermula 19 Okt itu turut menandakan ulang tahun ke-20 CAPAM. Tiga lagi acara akan diadakan bersempena persidangan tersebut iaitu Forum Peringkat Menteri Komanwel, Mesyuarat Agung Tahunan CAPAM dan Larian Antarabangsa CAPAM 2014.

-- BERNAMA