Poetic Justice Unity Humanity Sampaikan Mesej Perpaduan Kemanusiaan Sejagat

Last update: 14/10/2014

Oleh Wan Asmanizan Wan Ahmad Najib

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Konsep membuat persembahan secara sukarela yang dicanangkan bukanlah mudah untuk dilaksanakan tetapi Poetic Justice for Unity, Humanity telah berjaya menepis tanggapan negatif sesetengah pihak apabila berjaya membawa mesej kesedaran terhadap perpaduan dan kemanusiaan kepada masyarakat setempat tanpa mengira bangsa dan agama.

Acara Poetic Justice for Unity Humanity yang diadakan ini juga bersifat 'non-profit' atau konsep tidak mengutip keuntungan ini berlangsung selama 16 jam yang bermula dari 7 pagi dan berakhir pada 11 malam.

Faranadiya Ayub yang merupakan salah seorang penganjur yang menjadi tunggak acara yang julung kali diadakan ini sempat ditanya tentang penglibatan sokongan dan penglibatan secara sukarela dari banyak pihak individu, kerajaan dan syarikat seperti dari Malays Wedding Portrait Photography yang diperolehi untuk acara seperti ini berkata "kami amat menghargai dan berterima kasih kepada banyak pihak yang meluangkan masa dan tenaga menyokong usaha menyemai kesedaran perpaduan dan kemanusiaan tanpa mengira agama dan bangsa (Unity and humanity)".

"Marilah bersama-sama kami dalam membantu usaha untuk mempromosikan kemanusiaan dan perpaduan sejagat. Kami akan menyediakan platform untuk anda membuat persembahan dan membawa mesej ini kepada semua masyarakat"

"Saya berharap dapat mencapai objektif untuk menyatukan semua bangsa tanpa mengira perbezaan masing-masing sama seperti tema warna tema pada baju kami hari ini iaitu Merah tanda hentikan perang, Hitam tanda kesedihan, Kuning tanda harapan dan Putih lambang Keamanan"

Faranadiya menambah lagi, "Acara seperti ini merupakan platform yang amat sesuai untuk ramai penggiat seni terutamanya belia".

Antara tetamu kehormat yang hadir memberikan sokongan terhadap acara ini adalah merupakan Orang Besar Daerah Petaling Dato' Haji Emran Haji Kadir dan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli.

ASP Hafizah dari Unit Jenayah, IPD USJ 8 turut sama menyumbang dalam bentuk memberi taklimat ringkas kepada mereka yang hadir dan berkongsi informasi yang menyentuh isu keganasan rumahtangga, keselamatan kanak-kanak sekolah, jenayah ragut dan isu-isu yang dekat kepada masyarakat.

ASP Hafizah berpeluang menyampaikan pesanan kepada mereka yang mengalami keadaan seperti demikian agar berhubung dengan pihak berkuasa agar mendapat nasihat yang betul.

Selain itu, pihak berkuasa setempat seperti Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Jabatan Kebajikan turut memberi sokongan dalam menjayakan acara tersebut.

Turut memberi sokongan kepada acara tersebut artis terkemuka seperti Aris Ariwatan Rahdi Khalid yang turut hadir dan membuat persembahan.

Beberapa artis dan selebriti tempatan lain seperti Fauziah Nawi, Tony Eusoff, Arja Lee dan juga Farah Diba dari Al-Hijrah turut memberi sokongan kepada acara ini melalui pelbagai cara masing-masing.

Penyanyi lagenda Aris Ariwatan apabila ditemui selepas persembahan beliau berkata, "Penglibatan artis dalam acara amal seperti ini tidak terhad kepada kerja amal untuk kepentingan peribadi tetapi lebih kepada kepentingan untuk menyampaikan mesej seperti perpaduan dan kemanusiaan".

Lokasi Agenda Subang yang terletak di Subang Parade yang dipilih ini merupakan lokasi yang strategik dari segi geografi dan kepadatan.

Agenda Subang yang mempunyai platform berbumbung tidak tertutup sepenuhnya dan sebahagian lagi tertutup penuh membolehkan penyusunan acara yang sesuai untuk persembahan seperti nyanyian dan juga teater berskala kecil.

-- BERNAMA