Program NILAM Tangani Masalah Penyuburan Tabiat Membaca

Last update: 08/10/2014

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca mengadunkan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai dan ia sebagai salah satu kaedah menangani masalah yang menghalang penyuburan tabiat membaca dalam kalangan warga sekolah.

Menurut Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Datin Nawal Salleh, pelajar yang terdedah kepada pembelajaran ke arah pembacaan yang aktif akan lebih bersifat survival, berdikari dan lebih bijak yang mana pembelajaran sepanjang hayat dapat dilaksanakan.

"Ilmu pengetahuan tidak akan berkembang selagi amalan budaya membaca tidak subur dihati," katanya semasa berucap pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Membaca Program Nilam yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA-MAIWP), Cheras pagi tadi.

Johan peringkat negeri bagi kategori Sekolah Rendah Bahasa Melayu dimenangi oleh Nur Irdina Abdul Kher dari SK Taman Tun Dr Ismail 2, Kuala Lumpur dan bagi kategori Bahasa Inggeris pula dimenangi oleh Gan Jin Jin dari SJKC Jalan Davidson, Kuala Lumpur.

Manakala Johan Tokoh NILAM Negeri kategori Sekolah Menengah Bahasa Melayu dimenangi oleh Muhammad Hakim Hasbullah dari SMK Segambut Jaya, Kuala Lumpur, dan bagi kategori Bahasa Inggeris pula dimenangi oleh Nur Fatihah Mohammad Nor dari SM Sains Seri Puteri.

--BERNAMA