Kesemua Royalti Single Sujudku Akan Disalur Kepada Badan Kebajikan

Last update: 29/09/2014

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Semua kutipan royalti bagi single Sujudku nyanyian Aidiel Ghaffar, Aris Ariwatan dan Badri Ibrahim akan dikumpul melalui Tabung Harapan Clixster sebelum disalurkan kepada badan kebajikan, kata pencipta lagu tersebut Othman Masri.

Beliau yang juga terkenal dengan nama Man Senoi berkata single Sujudku dicipta bersempena Aidiladha yang bakal tiba tidak lama lagi dan merupakan projek ikhlas Clixster Music Sdn Bhd yang bukan mengejar keuntungan semata-mata tetapi lebih kepada menyentuh rohani masyarakat.

Katanya, lagu tersebut tidak akan dijual di pasaran kerana ia akan dimuat naik ke laman sosial Youtube bagi memudahkan pendengar untuk mendengar atau memuat turun lagu tersebut secara percuma.

"Kita wujudkan Tabung Harapan Clixster, dan melalui tabung tersebut kita alu-alukan sekiranya ada sumbangan daripada pendengar dan akan disalurkan kepada golongan kurang bernasib baik atau badan kebajikan.

"Sekiranya ada permintaan, kita akan keluarkan VCD single lagu Sujudkan untuk dijual kepada masyarakat," katanya pada sidang media di ibu pejabat Clixster Mobile Group di sini, hari ini.

Menurut Othman lagi, royalti ini tidak terhad kerana setiap tahun kita akan kumpulkan, selagi lagu itu masih mendapat siaran di kaca televisyen mahupun di muat turun atau ditonton di Youtube.

Katanya, lagu itu mengambil masa selama 10 bulan untuk dicipta selepas beberapa kali diubah daripada segi muziknya dan mempunyai tiga kombinasi irama iaitu keroncong, gamelan dan samba.

"Saya lebih gemar untuk bereksperimen menerusi lagi ini," katanya sambil berharap lagu itu akan mendapat sambutan untuk disiarkan kerana ia akan menambahkan lagi jumlah kutipan royalti.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutifnya Datuk Megat Radzman Megat Khairuddin berkata beliau memgembangkan perniagaan dalam bidang muzik kerana beliau mendapati muzik merupakan suatu bidang yang penting kepada mereka yang mempunyai bakat dalam bidang tersebut.

"Saya bukan mahu mencari keuntungan tetapi mahu ketengahkan muzik berunsur kerohanian serta budaya kita selain menjadi platform kepada artis baharu untuk mencipta nama di dalam industri muzik negara," katanya.

Penyanyi single Sujudku, Aidiel pula mahu pendengar serta media agar menyokong dan memberi maklumbalas setelah mendengar lagu tersebut.

"Kejayaan Sujudku terletak kepada pendengar serta kerjasama media," katanya.

-- BERNAMA