Pemergian Pengarah Veteran Jamil Sulong Sukar Dicari Ganti - Ahmad Shabery

Last update: 26/09/2014

PETALING JAYA, 26 Sept (Bernama) -- Kepulangan Allahyarham Datuk Jamil Sulong ke Rahmatullah merupakan satu kehilangan besar dalam industri seni negara dan sukar dicari ganti, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.


Beliau berkata pengarah veteran itu telah membawa perubahan besar dalam industri perfileman tanah air dengan penghasilan karya-karya yang begitu dekat dengan rakyat Malaysia.


"Kita telah kehilangan seorang pengarah yang begitu berkaliber yang mana karya beliau telah mendominasi dunia perfileman negara sehingga ke hari ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham Jamil di Masjid Al-Ghufran, Taman Tun Dr Ismail di sini, pada Jumaat.


Jamil meninggal dunia di rumah anaknya, Arjunaidi, di Bukit Utama Damansara di sini pada kira-kira 9.30 malam tadi akibat serangan angin ahmar. Allahyarham berusia 88 tahun.


Ahmad Shabery berkata beliau juga kagum dengan keunikan penceritaan dan penghasilan watak-watak dalam filem arahan Allahyarham.


"Pengarahan beliau sangat hebat dan watak-watak yang dibina memberi kesan kepada peminat-peminat filem pada waktu itu," katanya


Ahmad Shabery berkata kementerian juga akan memberi penghargaan kepada keluarga Allahyarham sebagai tanda peringatan atas karya yang telah dihasilkan Allahyarham selama ini.


Kita akan terus berhubung dan bekerjasama dengan ahli keluarga (Allahyarham) untuk mengabadikan hasil karya-karya Allahyarham," katanya.


Sementara itu, Anwardi, 55, berkata seluruh anggota keluarga reda dengan pemergian bapanya yang sudah sebulan koma akibat serangan angin ahmar.


"Dia pergi dengan cara yang baik, amat mudah dan pada malam Jumaat, 1 Zulhijjah. Saya kira ia hari yang baik. Kami terima seadanya kerana Allah SWT lebih sayangkannya," katanya.


Menyifatkan bapanya seorang yang tegas, Anwardi yang merupakan anak ketiga berkata Allahyarham tidak membenarkan anak-anaknya terlibat dalam dunia seni, sebaliknya dihantar menuntut ilmu dan menjadi seorang berkerjaya.


Allahyarham meninggalkan seorang isteri yang juga pelakon terkenal Datuk Rosnani Ludin, 78, atau lebih dikenali sebagai Rosnani Jamil dan empat anak iaitu Murniaty, 59, Arjunaidi, 56, Anwardi, dan Asnadi, 48, serta lapan orang cucu.


Pengarah filem tempatan Aziz M. Osman berkata beliau sedih dengan pemergian Allahyarham dan menganggapnya sebagai seorang bapa yang banyak mendidik beliau mengenai ilmu perfileman.


"Allahyarham merupakan insan yang membawa saya sebagai pelakon kanak-kanak pada tahun 1975 dalam filem Sayang Anakku Sayang di mana beliaulah yang memilih saya daripada ratusan kanak-kanak yang hadir uji bakat ketika itu," katanya.


Beberapa seniman dan artis tempatan seperti Datuk Rahim Maarof, Datuk DJ Dave dan Datuk Hattan turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham di sini.


Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Ghufran selepas solat Jumaat sebelum dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Janda Baik, Bentong, Pahang.


Sepanjang hayatnya, Allahyarham mengarahkan 26 filem, antaranya, Batu Belah Batu Bertangkup, Raja Laksamana Bentan, Si Tanggang, Lela Manja, Bidasari dan Raja Bersiong.


Beliau juga merupakan seorang penulis lirik termasuk untuk beberapa lagu nyanyian seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan biduanita negara Allahyarhamah Saloma seperti Engkau Laksana Bulan, Merak Kayangan dan Tiru Macam Saya.


-- BERNAMA