Konsert Hayat 45 Tahun Ramli Sarip Tampilkan Penyanyi Asal Gadis Melayu

Last update: 23/09/2014

KUALA LUMPUR, Sept 23 (Bernama) -- Kerjaya seniman selama 45 tahun seniman Datuk Ramli Sarip akan diraikan dengan konsert istimewa di Istana Budaya pada 17-19 Oktober 2014.

Konsert yang sama akan diadakan pada 21 Oktober 2014 di Esplanade, Singapura.

Konsert selama tiga malam di Istana Budaya itu akan menjadi satu penanda aras bagi lagenda rock negara itu yang memulakan karier seawal 1969 bersama kumpulan rock Sweet Charity di Singapura.

Keterampilan beliau dalam bidang seni selama 45 tahun pasti ditunggu-tunggu, seperti visi Datuk Ramli Sarip yang mahu menjadikan persembahan kali ini 'artistik' dan amat bermakna bagi para peminatnya.

Kolaborasi ini merupakan "gabungan seni dalam satu karya tersendiri," kata Ramli pada sidang media yang diadakan di Istana Budaya, Selasa.

Keistimewaan konsert 45 tahun ini adalah apabila ia turut menampilkan Achmad Albar, vokalis God Bless dari Indonesia yang popular pada tahun 1973 yang merupakan penyanyi asal lagu-lagu nyanyian Sweet Charity.

Sebelum mencapai popularity, Sweet Charity banyak menyanyikan lagu dari penyanyi ini yang menjadi tunggak utama kumpulan rock Indonesia, God Bless seperti lagu Zakiah dan Gadis Melayu.

Antara lagu-lagu God Bless yang mendapat tempat peminat di Malaysia merupakan Gadis Melayu, Raja Kumbang dan Zakiah adalah antara lagu yang menjadi kegemaran peminat tanah air yang pastinya tidak ramai menyedari lagu-lagu berkenaan adalah nyanyian asal Achmad Albar.

Achmad Albar atau nama sebenar beliau adalah Achmad Syech Albar, dilahirkan di Surabaya pada 16 Julai 1946, dikenali sebagai ‘Iyek’adalah merupakan vokalis dan juga pengasas kumpulan God Bless.

Pameran Seni Visual Gerak. Rasa. Tenaga

Sebagai membawa kelainan pada konsert kali ini penganjur konsert ini, Rasamusic, akan bekerjasama dengan Angkatan Pelukis Se-Malaysia (APS) untuk pameran seni visual yang bertajuk Gerak, Rasa, Tenaga.

Pameran akan berlangsung di Lambang Sari, Istana Budaya bermula 17-19 Oktober dan akan berpindah ke Balai Seni Visual Negara selepas konsert berakhir.

Seramai 35 orang pelukis yang menjadi ahli Angkatan Pelukis Se-Malaysia termasuk beberapa pelukis yang dijemput khas oleh Datuk Ramli Sarip akan menyertai pameran yang akan dibuka dari jam 12.00 tengahari hingga 9.00 malam.

Penyertaan pelukis bersama Ramli Sarip pasti memberi kelainan kepada penonton apabila ia menggabungkan dua elemen seni iaitu seni visual dan seni lagu dan muzik.

"Mereka akan merakamkan tenaga yang saya rasa semasa membuat persembahan dan melakarkannya melalui interpretasi pelukis ke dalam bentuk lukisan," Ramli mengulas penyertaan pelukis jemputan pada konsertnya nanti.

Artis Dan Pemuzik Undangan

Selain Achmad Albar, konsert kali ini akan turut menampilkan Rahman Sarbani, Rosli Mohalim, Ahmad Jaafar Jawahir (Sweet Charity), Aris Ariwatan serta Dayang Nurfaizah.

Selain itu, pemuzik terkenal tanahair seperti Man Kidal dan Rizal Halim akan turut mengiringi persembahan Ramli Sarip.

Konsert ini adalah kerjasama penuh pihak Istana Budaya Kuala Lumpur.

Untuk info lanjut, layari www.iLassotickets.com atau hubungi 03 79576088.

-- BERNAMA