Belia Terengganu Digesa Rebut Peluang Disediakan SME Corp, Mara

Last update: 22/09/2014

Oleh Kamaliza Kamaruddin

DUNGUN, 22 Sept (Bernama) -- Usahawan belia di Terengganu disaran supaya merebut peluang yang disediakan kerajaan melalui SME Corp iaitu Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dan pembiayaan tanpa faedah oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) kerana penyertaan belia negeri itu sangat mengecewakan berbanding negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan, Kepenggunaan dan Koperasi negeri Terengganu, Roslee Daud berkata peluang keemasan itu wajar dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf ekonomi usahawan belia, namun malangnya ia mendapat sambutan hambar di Terengganu.

"Sebab itu, hari ini kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Terengganu (YPU) dengan kerjasama Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) menganjurkan taklimat khas untuk 150 belia di sekitar Dungun agar mereka memahami lebih terperinci mengenai dua kemudahan yang disediakan kerajaan itu.

"YPU sebagai agensi penyelaras dan pihak yang mengetuai Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu disertai 23 agensi kerajaan akan memperluaskan taklimat ini di seluruh negeri secara berperingkat," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Taklimat Keusahawanan Belia Daerah Dungun di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Wan Rubi Wan Jusuh.

Roslee berkata melalui TUBE yang diperkenalkan SME Corp, belia berusia 18 hingga 40 tahun boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM50,000 untuk memulakan atau mengembangkan lagi empayar perniagaan mereka.

"Manakala MARA pula menawarkan pembiayaan tanpa faedah sehingga RM10,000 kepada usahawan yang berminat, tetapi saya dimaklumkan oleh pihak Mara, sambutan amat mengecewakan," katanya.

Beliau turut menasihatkan para belia agar berdamping erat dengan kesemua 23 agensi keusahawanan di bawah majlis sekretariat yang diselaraskan YPU untuk melaksanakan program 4P iaitu pembiayaan, promosi, penyediaan Infrastruktur dan peningkatan kemahiran.

-- BERNAMA