Peluang Belia Jadi Usahawan Tani Selepas Keluar Penjara

Last update: 22/09/2014

PUTRAJAYA, 22 Sept (Bernama) -- Belia yang ditahan di pelbagai pusat tahanan
bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya penjara, kini berpeluang
menjadi usahawan tani bagi tanaman cili dan timun selepas menjalani hukuman.


Ini berikutan persetujuan dicapai dalam perbincangan antara Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dengan Pengerusi Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu (NAAM) Datuk M.Saravanan, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan di Putrajaya, Isnin.


Bercakap kepada pemberita selepas perbincangan itu, Wan Junaidi berkata NAAM akan bekerjasama dengan pihak penjara melalui jawatankuasa yang ditubuh di bawah KDN bagi membolehkan belia terbabit diberi latihan usahawan pertanian.


"Antara tanaman yang akan diusahakan belia tersebut secara cepat dan memberi pulangan segera ialah cili, timun dan rock melon.


"Ini adalah kerjasama yang baik kerana Malaysia mempunyai pasaran cili yang besar, belia yang ramai dan tanah yang cukup. Mengapa kita perlu mengimport cili daripada luar negara," kata timbalan menteri itu.


Beliau berkata langkah ini bukan bermakna KDN mengambil alih tugas Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebaliknya bertujuan memberi peluang kepada belia dalam pusat tahanan mempelajari ilmu keusahawanan agar mampu berdikari.


Wan Junaidi berkata hasil pertanian golongan itu akan diurus pihak NAAM.


Sementara itu, Saravanan berkata setakat ini, NAAM menjalankan projek pertanian yang membabitkan 109 belia dan setiap seorang mengusahakan seluas 0.4 hektar (seekar) tanah.


Beliau berkata seorang peserta NAAM, iaitu belia yang tercicir daripada sekolah menengah di Banting, kini menjana pendapatan RM500,000 setiap tiga bulan melalui penanaman cili, timun, rock melon dan daun bawang.


NAAM ditubuhkan dengan objektif membantu golongan belia menceburi bidang pertanian, khususnya kaum India.


Saravanan berkata kerjasama dengan KDN membuka peluang kepada belia pelbagai etnik dan latar belakang memperoleh kemahiran serta pendedahan berkaitan bidang keusahawanan sebelum dibebaskan daripada penjara atau mana-mana pusat tahanan.


--BERNAMA