Star Wars Di Transformasi Melalui Wayang Kulit ‘Peperangan Bintang’

Last update: 22/09/2014

Oleh Nur Syehah Alias

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Umumnya kita semua mengetahui bahawa persembahan wayang kulit seringkali dipersembahkan di dalam loghat negeri Kelantan.

Peperangan Bintang Wayang Kulit kali ini telah dipertontonkan di dalam Bahasa Malaysia untuk paparan pelbagai bangsa.

Pra persembahan 'Peperangan Bintang Wayang Kulit' itu dipertontonkan kepada orang ramai yang hadir ke Petrosains Festival Sains 2014 yang telah diadakan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada Ahad lalu.

Para pengunjung yang hadir memenuhi perkarangan Esplanade KLCC di mana acara wayang kulit ini diadakan.

Persembahan wayang kulit tersebut telah menarik perhatian para pengunjung yang hadir walaupun persembahan yang dijadualkan berlangsung pada jam 9.00 malam itu telah ditunda ke jam 10.25 malam disebabkan cuaca hujan yang bermula seawal petang.

Walau demikian ia tetap mendapat tepukan gemuruh dan sorakan yang gamat dari para penonton yang ternyata terpesona dengan persembahan itu.

Walaupun ia hanyalah merupakan persembahan pra tonton, sambutan daripada para pengunjung yang hadir adalah amat meriah.

Rata-rata pengunjung yang hadir bukan sahaja terdiri dari penduduk tempatan malah juga dari beberapa negara asing dan menampakkan sambutan yang meriah terhadap festival anjuran Petrosains ini.

Persembahan wayang kulit 'Peperangan Bintang' adalah berdasarkan kombinasi filem terkenal Star Wars yang sememangnya mempunyai peminat dari merata ceruk termasuk Malaysia yang amat menggilai akan kehebatan filem tersebut.

Sememangnya Peperangan Bintang Wayang Kulit kali ini sangat berbeza kerana sepanjang persembahan, para pengunjung telah disajikan dengan penceritaan melalui patung wayang kulit yang telah diberi watak dan perwatakan tersendiri mengikut jalan cerita yang sebelum itu telah dinyatakan sebelum persembahan bermula.

Peperangan Bintang Wayang Kulit dipersembahkan berlatar-belakangkan keadaan di angkasa lepas sama seperti dalam filem Star Wars.

Persembahan Peperangan Bintang Wayang Kulit telah dipertontonkan secara menyeluruh pada 21 September di lokasi yang sama pada jam 7.45 petang.

Festival Sains 2014 yang bertemakan 'Muzik, Seni dan Sains' itu menyediakan beberapa pondok yang menarik dan terdapat pelbagai eksperimen saintifik dan persembahan muzik telah diadakan bertujuan untuk dieksplorasi oleh para pengunjung.

-- BERNAMA