Acik Lana Raih Pendapatan Melalui Penulisan Novel

Last update: 19/09/2014

Oleh Jenny Imanina Lanong Abdullah


KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- "If I waited for a perfection, I would never write a word,". Terkesan dengan kata-kata pujangga ini, Rasiah Abdul Rashid atau lebih dikenali dengan nama penanya 'Acik Lana' mengakui, kenyataan tersebut berkuasa besar mengubah nasib dirinya hari ini.

Bergelar kini sebagai penulis novel sepenuh masa, anak jati negeri Pahang ini tidak pernah mengikuti mana-mana bengkel penulisan sebelum bergelar penulis.

Dek kerana minat menulis yang mendalam sejak zaman sekolah serta dorongan rakan telah menjadi titik tolak kepadanya untuk merealisasikan impian melibatkan diri dalam penulisan kreatif.

Empunya diri, sejujurnya tidak menyedari bakat terpendam yang dimiliki namun setelah hasil penulisannya mendapat banyak maklum balas positif, Acik Lana mula menulis secara serius pada tahun 2011 dan membuka laman mikro blog sendiri untuk berinteraksi dengan penggemar dan pembaca novelnya.

Dengan gaya penulisan bersahaja dan bergenre romantik, kewujudan Acik Lana dalam industri penulisan novel diterima dengan baik apabila kebanyakan novelnya menjadi antara novel terlaris.

Sungguhpun namanya mungkin tidak sehebat penulis novel ternama seperti Aisya Sofea, Ramlee Awang Mursyid ataupun Syarifah Abu Saleem, namun dengan pencapaian tujuh buah novel dalam tempoh tiga tahun dan telah terjual lebih 200,000 naskah bukankah ini satu pencapaian yang sangat memberangsangkan bagi seorang penulis?

NOVEL PERTAMA

Menurut Acik Lana, dia merasakan perjalanan sebagai penulis pada masa itu menjadi sedikit lancar dengan adanya portal 'penulisan2u', iaitu portal khas yang diwujudkan secara percuma untuk semua penulis menghantar manuskrip mereka.

"Portal tersebut memberi banyak kemudahan untuk penulis berinteraksi dengan pembaca. Interaksi ini dapat membantu saya dalam menghasilkan manuskrip yang lebih baik kerana penulis boleh mengetahui 'selera' pembaca sekaligus memperbaiki penulisan manuskrip tersebut," katanya.

Menceritakan tentang pengalaman menghasilkan novel pertamanya bertajuk 'Aku Bukan Mistress', Acik Lana berkata syarikat penerbitan Kaki Novel Sdn Bhd yang pada masa itu bekerjasama dengan portal penulisan2u tertarik dengan maklum balas pembaca yang diterima dan manuskrip yang beliau hasilkan.

Setelah terhasilnya novel tersebut pada September 2011, nama Acik Lana menjadi tidak asing lagi di kalangan peminat novel malahan ramai tertunggu hasil karya beliau seterusnya.

Novel 'Aku Bukan Mistress', sehingga kini telah dicetak sebanyak 32 kali dan kira-kira 68,500 naskah telah dijual dan masih mendapat sambutan di kalangan peminat novel beliau apatah lagi setelah novel ini diadaptasi kepada drama baru-baru ini.

Kejayaan novel pertama ini telah memberikan kekuatan kepada Acik Lana untuk menghasilkan novel-novel seterusnya.

Pada 2012, Acik Lana telah menghasilkan lagi dua buah novel untuk mengubat kerinduan peminat tegar karyanya iaitu Maaf Jika Aku tidak Sempurna dan Kalau Memang Harus Begitu.

Demi menjaga kualiti karyanya, Acik Lana telah menetapkan untuk menghasilkan tiga buah novel sahaja setahun.

"Langkah ini untuk memastikan saya mempunyai masa yang cukup untuk menghasilkan satu-satu manuskrip. Setelah manuskrip siap, proses penyuntingan juga mengambil masa untuk disiapkan.

"Pada masa ini, untuk tempoh setahun, saya memang hanya mengeluarkan paling banyak tiga buah novel. Lagipun sesetengah penghasilan manuskrip memerlukan kajian tertentu dan memerlukan saya membuat rujukan untuk kesahihan maklumat dan fakta," katanya.

Sehingga kini, Acik Lana telah menghasilkan tujuh buah novel iaitu Aku Bukan Mistress, Maaf Jika Aku Tidak Sempurna, Kalau Memang Harus Begitu, Perempuan Yang Paling Aku Cinta (2013), Pelangi Cinta Buat Suami (2013), Akadku Yang Terakhir (2014) dan Saat Hilang Cintamu (2014).

TEMPOH MENGHASILKAN MANUSKRIP

Menyentuh tentang tempoh menghasilkan manuskrip, Acik Lana berkata bahawa dia memerlukan dua sehingga ke tiga bulan untuk menyiapkan sebuah manuskrip.

"Kalau dahulu, saya menyiapkan manuskrip pada waktu malam kerana kekangan kerja di waktu siang," katanya.

Namun setelah meletakkan jawatan dan menjadi penulis sepenuh masa, beliau tidak mempunyai waktu terhad untuk berkarya.

"Setelah bekerja sembilan tahun dalam bidang perakaunan di sebuah syarikat minyak dan gas, saya mengambil keputusan untuk meletak jawatan dan memberi fokus kepada rumah tangga dan minat sebagai penulis," katanya.

JADIKAN MINAT SUMBER PENDAPATAN

Keputusan meletak jawatan dan memilih menjadi penulis sepenuh masa ternyata bukan sesuatu yang mudah, namun Acik Lana bersikap positif dan percaya dia tidak membuat keputusan yang salah.

Melihat kepada permintaan terhadap industri penulisan kreatif terutamanya penulisan novel di Malaysia, Acik Lana yakin pembaca dan peminat novel tetap akan sentiasa memberikan sokongan selagi isu-isu yang diketengahkan dalam novelnya mengikut selera pembaca.

Malahan senario kemunculan ramai penulis baharu dan muda memberi gambaran wujudnya persaingan yang sihat dalam industri penulisan kreatif.

"Dengan wujudnya lebih banyak syarikat penerbitan buku juga secara tidak langsung memberi gambaran tabiat minat membaca rakyat Malaysia semakin tinggi dan sekaligus akan membantu merangsang perkembangan industri penulisan dan penerbitan buku," katanya.

Menulis itu seni, penerbitan itu bisnes tetapi bagi Acik Lana, kedua-dua perlu seiring. Untuk menerbitkan sesebuah buku perlu ada naskah yang baik yang boleh diterima oleh komuniti peminat dan pembaca novel.

CABARAN SEBAGAI PENULIS

Walaupun tidak gentar dengan kritikan, namun Acik Lana mengakui kadang-kadang dia terkesan juga dengan kritikan pedas pembaca.

"Sesetengah pembaca suka mengkritik tanpa membaca karya anda, membuat kesimpulan sendiri tanpa ingin memahami keseluruhan jalan cerita atau memahami nilai-nilai murni yang penulis cuba tonjolkan dalam setiap karya mereka.

"Setiap penulis mempunyai sasaran tertentu dalam berkarya dan pastinya ada mesej yang ingin mereka sampaikan kepada masyarakat. Setiap karya tidak dihasilkan untuk suka-suka dan syok sendiri tetapi ada matlamat tertentu iaitu mendidik masyarakat" katanya.

Namun, bagi Acik Lana, sebagai penulis dia sentiasa bersedia untuk menerima kritikan yang membina demi menjadi seorang penulis yang lebih matang.

ANUGERAH

Yang pastinya Acik Lana menyedari kejayaannya sebagai penulis novel bukan datang bergolek namun hasil daripada sokongan padu para pembaca yang mengiktiraf bakatnya.

Malahan hasil sokongan para pembaca, lima buah novelnya yang diterbitkan oleh Kaki Novel kini telah terjual lebih 200,000 naskah tidak termasuk novel yang diterbitkan oleh beliau sendiri.

Menurut Acik Lana, novel keduanya Maaf Jika Aku Tidak Sempurna telah mendapat tempat ketiga Anugerah Pilihan Pembaca Berita Harian.

Pengiktirafan tersebut telah memberi suntikan semangat kepada beliau untuk bergiat secara lebih serius dalam bidang penulisan.

Pada tahun ini, hasrat tersebut terlaksana dengan penubuhan syarikat penerbitannya sendiri yang dikenali Booku Enterprise.

"Syarikat penerbitan saya sendiri telah menghasilkan 'anak pertama' iaitu novel saya yang ketujuh, Saat Hilang Cintamu. Saya berharap novel ini dapat memenuhi selera pembaca dan pengikut-pengikut novel-novel saya sebelum ini," katanya.

-- BERNAMA