Tokoh NILAM Negeri 2014 Buktikan Keutuhan Semangat Membaca

Last update: 15/09/2014

Oleh Afiqah Mat Rozi

SHAH ALAM, 12 Sept (Bernama) -- Program Khemah Membaca 2014 anjuran Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kuala Lumpur ( BTPNWPKL ) telah dilaksanakan di Kem Bumi Jati pada 8 hingga 11 September 2014.

Seramai 36 orang peserta yang terdiri daripada 17 orang murid sekolah menengah dan 19 orang murid sekolah rendah telah menyertai program ini.

Calon-calon Tokoh NILAM yang terpilih pada kali ini telah menunjukkan kesungguhan dan semangat yang tinggi sepanjang sesi pemilihan diadakan, kata Mohd Zabidi Ismail, Ketua Unit Perkhidmatan Sumber PendidikanWP Kuala Lumpur.

Program Khemah Membaca yang diadakan bertujuan untuk memilih seorang Tokoh NILAM 2014 peringkat negeri bagi sekolah menengah dan rendah bagi kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Murid yang terpilih akan mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke peringkat kebangsaan pada tahun 2015.

Penilaian ini di bahagikan kepada 4 bahagian iaitu ;Penilaian secara Individu berkaitan pembacaan, pengetahuan, isu-isu semasa dan kreativiti serta penampilan calon.

Kedua, penilaian secara berkumpulan berbentuk fórum. Ketiga,ujian penulisan mengikut kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Keempat, pengetahuan berkaitan dengan literasi maklumat.

Keputusan bagi pemilihan calon Tokoh NILAM 2014 bagi kategori Bahasa Melayu kategori Sekolah Rendah dimenangi oleh Nur Irdina Abdul Kher dari Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 2, Kuala Lumpur.

Selain itu, bagi kategori Sekolah Menengah pula jatuh kepada Muhammad Hakim Hasbullah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut Jaya, Kuala Lumpur.

Pemenang bagi Kategori Bahasa Inggeris, kategori Sekolah Rendah dimenangi oleh Gan Jin Jin dari SJKC Jalan Davidson Kuala Lumpur, dan bagi kategori Sekolah Menengah pula dimenangi oleh Nur Fatihah Mohammad Nor dari Sekolah Menengah Sains Seri Puteri.

Empat Tokoh NILAM Negeri WPKL peringkat Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah yang terpilih akan diumumkan pada Majlis Penyampaian Hadiah Program NILAM Peringkat Negeri bagi tahun 2014 pada bulan Oktober ini.

--BERNAMA