UPSR Dikekalkan Bagi Menilai Tahap Pencapaian Murid Selama Enam Tahun - Muhyiddin

Last update: 09/09/2014

PUTRAJAYA, 9 Sept (Bernama) -- Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan terus dikekalkan untuk menilai tahap pencapaian murid selama enam tahun di sekolah rendah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata peperiksaan itu akan menguji sejauh mana mereka menerima ilmu yang diajar guru khususnya dalam mata pelajaran utama.

"Apa-apa keputusan pun mereka akan naik ke tingkatan satu. Tetapi ibu bapa nak tahu (tahap) mana mereka berada.

"Jadi, kita teruskan dasar yang telah lama kita laksanakan untuk membuktikan kesempatan kita menilai pencapaian pelajar-pelajar," katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Presint 16 (2) di sini Selasa.

Menurutnya penilaian di peringkat sekolah rendah adalah perlu sebelum para pelajar melangkah ke sekolah menengah.

"Mereka akan terus dibimbing menerusi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang kita laksanakan. Mudah-mudahan ini akan mencipta pelajar-pelajar yang lebih cemerlang dan mempunyai pemikiran aras tinggi dipanggil 'higher order thinking skills'," kata Muhyiddin.

Sementara itu, beliau berkata peperiksaan UPSR yang dijalankan mulai hari ini berjalan lancar di seluruh negara.

Katanya sejumlah 472,853 murid menduduki peperiksaan itu di 8,384 sekolah di seluruh negara menerusi 8,299 pusat peperiksaan.

Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada murid-murid yang menduduki peperiksaan ini dan berharap mereka akan fokus kepada soalan yang disediakan.

"Banyakkan berdoa supaya cita-cita murid-murid tercapai dan kejayaan yang cemerlang itu akan berhasil," katanya.

Muhyiddin turut melahirkan penghargaan kepada pegawai-pegawai kementerian terutamanya tenaga pengajar yang banyak berkorban untuk meningkatkan prestasi kecemerlangan murid-murid di seluruh negara.

"Kita mengharapkan keputusan UPSR tahun ini lebih meningkat berbanding tahun-tahun lepas," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata murid-murid Sekolah Kebangsaan Presint 16 (2) yang ditemui kelihatan tenang menjawab soalan peperiksaan. Sejumlah 82 murid menduduki UPSR di sekolah berkenaan.

Beliau turut beramah mesra dengan dua murid Orang Kelainan Upaya yang turut menduduki peperiksaan iaitu Rasyiqah Ahmad Rezal yang mempunyai masalah tulang belakang bengkok dan Qaisarah Maisarah Shamsul Hizal yang mempunyai masalah penglihatan.

-- BERNAMA