Anugerah Belia Komanwel 2015 Dibuka Untuk Pencalonan

Last update: 03/09/2014

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Anugerah Belia Komanwel 2015 bagi Kecemerlangan dalam Kerja-kerja Belia kini dibuka untuk pencalonan.

Setiausaha Agung Komanwel Kamalesh Sharma dalam satu kenyataan hari ini berkata anugerah itu ialah platform untuk mempamerkan dan mengembangkan kecemerlangan anak muda dalam seluruh Komanwel yang dianggotai 53 negara.

Anugerah tahunan itu juga mengiktiraf sumbangan belia yang tidak ternilai kepada pembangunan masyarakat dalam konteks nasional dan global," kata beliau.

"Pencalonan harus menunjukkan bagaimana sumbangan anak muda, sama ada secara profesional atau sukarela, telah membantu menggalakkan matlamat pembangunan seperti memperkasakan kumpulan yang terpinggir, keamanan, demokrasi dan hak asasi manusia," kata beliau.

Sharma berkata pemenang pada masa lepas telah memanfaatkan bakat dan komitmen mereka dalam usaha yang lebih kukuh seperti pengurusan sisa alam sekitar, tenaga solar di perkampungan terpencil, masyarakat pendidikan dalam talian dan kepimpinan belia.


Beliau berkata finalis dari setiap rantau seperti Asia, Afrika dan Eropah, Caribbean dan Amerika akan dipilih dan daripada 16 finalis ini, seorang dari setiap rantau akan menerima Anugerah Belia Komanwel serantau.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 30 Okt 2014.

-- BERNAMA