Perlu Pendekatan Baharu Pupuk Patriotisme Di Kalangan Gen Y Dan Z

Last update: 26/08/2014

Oleh Erda Khursyiah Basir



KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Golongan muda khususnya generasi Y dan Z sering kali dilihat dan dikatakan tidak patriotik. Namun, hakikatnya masyarakat gagal melihat bahawa generasi muda lahir dan hidup jauh daripada zaman negara merdeka dan lantaran itu mempunyai idea berlainan mengenai patriotisme.


Oleh yang demikian, memupuk semangat patriotisme di kalangan generasi muda memerlukan pendekatan baharu yang selari dengan usia dan minat mereka serta melangkaui pembelajaran sejarah, kata Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Jayum Jawan.


"Generasi muda hari ini mahu suara mereka didengari, berbeza dengan ibu bapa mereka yang berpuas hati dan bersikap menerima apa sahaja. Contohnya, mereka juga mahu terlibat dalam proses politik di mana mereka mahu dirujuk dan berkongsi pandangan berkenaan sesuatu perkara.


"Idealisme anak muda biasanya berkisar tentang konsep universal seperti tadbir urus yang telus, baik dan adil. Ini selaras dengan apa yang mereka terima dalam pendidikan di institusi atau pusat pengajian tidak kira di dalam atau luar negara," katanya kepada Bernama.


MANTAPKAN PERPADUAN


Dr Jayum berkata generasi muda hari ini menganggap kritikan mereka terhadap kerajaan dan pemimpin sebagai sesuatu yang membina dan merupakan antara sumbangan kepada pembinaan negara, bukan seperti yang sering ditafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai anti pemerintahan.


Untuk itu, kata beliau, perbezaan antara apa yang ditafsirkan oleh pemimpin dan apa yang dianggap oleh anak-anak muda perlu diperbaiki dan hubungan antara kedua-duanya perlu diperkukuhkan demi kebaikan negara.


Katanya antara langkah yang boleh diambil bagi mengekal dan memantapkan perpaduan rakyat pelbagai etnik di negara ini ialah dengan terus mengamalkan nilai kesederhanaan, akomodasi, tolak ansur dan bekerjasama seperti sebelum merdeka.


Pada masa sama, beliau turut mencadangkan agar rakyat pelbagai etnik di negara ini mengadakan dialog bersemuka bagi membincangkan dan mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi bagi mengelakkan isu kecil diperbesarkan.


"Rakyat akan hidup aman damai sekiranya semua kaum terus berpegang kepada prinsip asas yang telah mewujudkan Malaysia di samping mendapat kepimpinan daripada seorang pemimpin yang mampu menjaga kebajikan seluruh rakyat.


"Perpaduan kaum terancam apabila terdapat seorang pemimpin yang bertindak memperjuangkan kepentingan kaum tertentu melampaui batas dalam kerangka patut. Pemimpin utama negara harus menjadi contoh dan tidak membiarkan politik sempit muncul dan mendominasi sekiranya mahu perpaduan terus mekar," katanya.


PILIH PEMIMPIN


Berdasarkan kepada senario hari ini, Dr Jayum berkata rakyat dilihat semakin bijak ekoran kejayaan dasar politik dan ekonomi sepanjang lebih 50 tahun negara mengecapi kemerdekaan.


Katanya kebangkitan dan perubahan yang ditunjukkan oleh rakyat dalam dua pilihan raya umum lepas adalah kerana mereka dididik oleh dasar-dasar kerajaan seperti dasar politik, ekonomi mahupun sosial.


"Selaras dengan kebangkitan itu, pemimpin juga perlu mempunyai kesedaran dan memperbaharui pendekatan mereka agar selari dengan mereka yang telah terdidik ini. Jika tidak, pemimpin akan ditinggalkan dan digantikan oleh rakyat seperti apa yang berlaku pada dua pilihan raya umum lepas.


"Pada dua pilihan raya umum lepas ramai pemimpin ditukar oleh rakyat kerana wujud jurang minda dan aspirasi antara keduanya. Rakyat berubah pandangan kerana kejayaan dasar kerajaaan sebelum ini, namun pemimpin yang merupakan pembawa dasar tidak pula berubah dan masih terperangkap dengan politik lama serta tidak sedar tentang aspirasi baharu yang diinginkan rakyat," katanya.


PATUHI UNDANG-UNDANG


Sikap bersatu padu dan saling hormat-menghormati yang diamalkan rakyat Malaysia berbilang bangsa di negara ini merupakan antara teras yang terbukti berjaya membawa kemakmuran dan kemajuan kepada negara.


Oleh yang demikian, pensyarah Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohamad Faisol Keling berkata rakyat perlu menjadikan teras yang diamalkan selama 57 tahun negara merdeka itu bagi merencana masa depan yang lebih baik.


Antara lain, beliau berkata norma hidup dengan pelbagai latar belakang masyarakat di negara ini termasuklah pegangan agama yang kukuh, menanam semangat setia kepada negara dan mematuhi undang-undang.


"Jika ada di antara kita yang sanggup mengorbankan atau memperjudikan nasib rakyat dan agama hanya kerana sikap tidak mempedulikan undang-undang dan norma hidup bermasyarakat, negara yang dibina akan runtuh sekelip mata dan semua kaum akan kerugian.


"Budaya melanggar undang-undang ini sekiranya menjadi ikutan dalam masyarakat tidak mustahil negara akan berhadapan pelbagai masalah seperti apa yang berlaku di negara bergolak," katanya.


RAPATKAN JURANG


Dalam masa yang sama, Mohamad Faisol berkata jurang ekonomi yang wujud antara satu kaum dengan kaum yang lain akan membawa kepada kesan buruk terhadap pembangunan negara.


Beliau berkata bagi mengekalkan hubungan baik rakyat berbilang bangsa di negara ini, kerajaan perlu merapatkan jurang ekonomi yang wujud antara kaum melalui pembentukan dasar-dasar baharu seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak sebelum ini.


"Ekonomi yang kukuh mampu mengimbangi penguasaan ekonomi antara kaum sekaligus akan berupaya menyuntik semangat kebergantungan antara satu kaum dengan kaum yang lain. Ini secara tidak langsung akan membentuk perpaduan erat antara kaum sekaligus menyemai nilai-nilai murni di semua peringkat tidak kira kerajaan, swasta mahu pun persendirian," katanya.


-- BERNAMA