Lebih 20,000 Sertai '1st World Martial Art Warrior Assembly' Di Putrajaya, November Ini

Last update: 11/08/2014

PUTRAJAYA, 11 Ogos (Bernama) -- Lebih 20,000 anggota pertubuhan seni mempertahankan diri dalam dan luar negara akan berhimpun selama dua hari di Putrajaya November ini untuk menyertai '1st World Martial Art Warrior Assembly'.

Pengerusi penganjur program Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang juga Ketua Satria Muda Majlis Pendekar Malaysia (MPM) berkata perhimpunan itu akan diadakan di Dataran Istana Kehakiman pada 22 dan 23 Nov ini.

Bersempena perhimpunan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menerima Anugerah Dai Soke, iaitu anugerah tertinggi dunia dalam seni mempertahankan diri daripada Presiden World Martial Arts Union (WoMAU) Soh Byung-yong, katanya.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim juga dijadual menerima anugerah sama, yang diberikan kepada pemimpin-pemimpin besar dunia yang dihormati dan dikagumi, kata Megat Zulkarnain, yang juga Naib Presiden WoMAU.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyertai Presiden MPM Tan Sri Omardin Mauju dan anggota MPM yang lain mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir bagi memaklumkan penganjuran majlis itu di sini hari ini.

-- BERNAMA