Upin Ipin Sekali Lagi Ke Layar Perak, Gabungkan Lakonan Sebenar Dan Animasi

Last update: 05/08/2014

Oleh Rosmalis Anuar


KUALA LUMPUR (Bernama) -- Ungkapan "betul... betul... betul" cukup sinonim bagi watak animasi comel pasangan kembar Upin dan Ipin.

Watak itu bukan sahaja terkenal di negara ini, malah menjadi ikutan kanak-kanak di negara serantau, selain turut ditayangkan di Turki sejak tahun lepas.

Selepas kejayaan filem pertama watak itu 'Geng, Pengembaraan Bermula', syarikat penerbitan Les' Copaque Production Sdn Bhd (Les' Copaque) kini mengorak langkah menerbitkan dua lagi filem animasi berkisar kepada watak itu.

Pengarah Urusan Les' Copaque Burhanuddin Md Radzi berkata, satu daripada filem itu akan menggabungkan watak "life-action" atau lakonan sebenar dengan animasi melalui kerjasama KRU Studio.

"Filem ini dibuat seperti dalam animasi 'Roger Rabbit' yang menggabungkan animasi dengan lakonan sebenar dan akan menampilkan Awie sebagai watak utama di samping Upin dan Ipin", katanya kepada Bernama.


FILEM BARU PERTENGAHAN 2015

Jelas Burhanuddin, filem berjudul "Upin Ipin... Jeng... jeng... jeng" dijangka ditayang pada pertengahan tahun 2015.

Les' Copaque juga sedang berunding dengan pihak yang berkaitan di Indonesia bagi memastikan filem itu dapat ditayangkan serentak di sana.

Sementara itu, filem animasi "Upin dan Ipin The Movie" yang berkisar pengembaraan Upin dan Ipin bersama kawan-kawan pula dijangka siap pada akhir tahun depan dan akan ditayangkan pada 2016.

"Filem inipun kita akan menggunakan orkestra dari Semarang, Indonesia untuk muzik latar dan 'soundtrack'.

"Ini adalah kerjasama kita dengan Indonesia kerana Upin dan Ipin begitu terkenal di sana, jadi saya mahu melibatkan mereka yang terlibat di kedua-dua negara ini", katanya.


KARNIVAL UPIN DAN IPIN

Les' Copaque yang mula berada di platform Youtube sejak Disember 2012, akan turut mengadakan Karnival Upin dan Ipin terbesar pada 21-23 Nov ini di Putrajaya, yang akan turut menampilkan watak Ultraman.

"Kita akan berkolaborasi dengan Ultraman tahun ini dan kita akan membuat tiga episod di mana Ultraman baharu yang diberi nama Ultraman Ribut akan masuk ke dalam siri Upin Ipin", katanya.

Les' Copaque juga bercadang membuat satu persembahan teater Upin dan Ipin bersama Ultraman sekiranya siri animasi khas yang diterbitkan itu mendapat sambutan.

Sementara itu, Les' Copaque akan menerbitkan satu siri animasi terbaharu bertajuk Puteri yang bakal disiarkan September ini khas untuk remaja dengan olahan cerita ketimuran.

Beliau berharap animasi Puteri yang akan bermula dengan enam episod, dapat meraih kejayaan seperti animasi barat "Frozen" dan bercadang membawa siri itu ke layar perak.

-- BERNAMA