MB Terengganu Sertai 200 Belia Tonton Final Piala Dunia

Last update: 14/07/2014

KUALA TERENGGANU, 14 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman menyertai 200 peminat bola sepak, majoritinya belia menyaksikan final Piala Dunia 2014 antara Jerman dan Argentina menerusi skrin gergasi di perkarangan bangunan penyelaras Umno Dun Seberang Takir, di sini awal pagi Isnin.

Beliau yang hadir dengan memakai baju melayu dan berkain pelekat bagaimanapun terpaksa pulang selepas tamat separuh masa kedua kerana mempunyai program pada sebelah pagi ini.

Dalam perlawanan akhir berprestij bola sepak tersebut yang mengheret perlawanan kepada 120 minit masa tambahan, Mario Gotze muncul wira Jerman setelah menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-113 menewaskan penjaga gol Argentina, Sergio Romero untuk membawa pasukan kendalian Joachim Loew merangkul trofi idaman.

Terdahulu, Ahmad Razif bersama petugas pejabat Umno Dun Seberang Takir bersolat hajat untuk selamatkan penduduk Gaza daripada serangan ganas tentera Zionis di bumi Palestin serta melancarkan tabung kemanusiaan membantu penduduk Palestin.

"Badan Perhubungan Umno negeri akan mewujudkan satu sekretariat untuk menyelaraskan kutipan derma ini dan kita akan gerakkan pergerakan pemuda dan puteri Umno Terengganu untuk melancarkan di peringkat kawasan masing-masing.

"Sudah pasti pendirian kita sama dengan kerajaan pusat dan kita mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman Zionis, lebih-lebih ini sekarang ini rakyat palestin sedang berpuasa," katanya.

-- BERNAMA