Atlet Perlu Bersedia Bukan Sekadar Jadi Penumpang - Khairy

Last update: 10/07/2014

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Atlet yang menyertai kontinjen negara ke Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland diingatkan perlu berada dalam keadaan bersedia untuk menggalas cabaran dan harapan yang dipertanggungjawabkan dan bukan sekadar mahu menjadi 'penumpang'.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata berdasarkan prestasi Malaysia di temasya yang lepas, penyertaan kontinjen negara adalah untuk meraih kemenangan dan juga memungut pingat emas dalam acara yang dipertandingkan.

"Jangan kita melihat kepada atlet lawan seolah-olah mereka tidak boleh ditumbangkan. Ambil pengajaran daripada juara Piala Dunia sebanyak lima kali Brazil yang mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri tapi telah diaibkan.

"Kalau kita lihat pasukan Jerman pula, mereka satu pasukan lengkap dari segi individu, kekuatan dan juga mental secara berpasukan yang akhirnya membolehkan mereka meraih kemenangan besar.

"Jadi setiap atlet perlu bersedia sama ada bertanding secara individu atau berpasukan supaya tidak ada yang jadi penumpang sehingga kehadiran tidak dirasai. Bila bersedia, tidak mustahil kita boleh menang," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kontinjen negara ke Sukan Komanwel di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Menurut Khairy, setakat ini persiapan atlet berjalan lancar kecuali kecederaan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei yang menyebabkan beliau yang berpotensi meraih pingat emas menarik diri pada saat akhir.

Namun demikian, beliau berkata tanpa kehadiran Chong Wei tidak bermakna skuad badminton tidak boleh menyumbang pingat emas negara, kerana skuad badminton mempunyai pemain lain yang berpotensi.

Mengenai sasaran pungutan pingat pada temasya kali ini pula, Khairy berkata agak sukar untuk menyamai rekod terbaik negara iaitu 12 pingat di New Delhi, India pada 2010 kerana beberapa faktor namun beliau menerima dan bersetuju dengan sasaran yang ditetapkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang dianggap amat realistik.

MOM meletakkan sasaran tujuh pingat emas pada temasya Sukan Komanwel kali ini yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 3 Ogos.

Dalam pada itu, Khairy meminta agar rakyat faham sekiranya atlet terpaksa meninggalkan ibadah puasa demi perjuangan di pentas sukan antarabangsa agar prestasi tidak terjejas.

"Sukan Komanwel kali ini berlangsung dalam bulan Ramadan dan ia satu cabaran besar kepada atlet beragama Islam. Namun, saya galakkan atlet yang berpeluang dan mampu (berpuasa) agar dapat menjalani ibadah ini dengan sempurna selagi mana tidak memudaratkan.

"Saya juga berharap rakyat faham dengan pengorbanan atlet negara kali ini yang terpaksa menyambut Aidilfitri di perantauan, jauh daripada keluarga dan sahabat," katanya.

Kontinjen negara sebanyak 269 orang atlet dan pegawai, diketuai Ketua Kontinjen Datuk Ong Poh Eng. Malaysia menyertai 14 daripada 17 jenis sukan yang dipertandingkan iaitu akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, boling padang, gimnastik, hoki, judo, menembak, olahraga, ping pong, ragbi, skuasy dan tinju.

Pencapaian Malaysia dalam tempoh 20 tahun di Sukan Komanwel ialah dua pingat emas di Victoria 1994, 10 pingat emas di Kuala Lumpur 1998, tujuh pingat emas masing-masing di Manchester 2002 dan Melbourne 2006. Pencapaian terbaik ialah di New Delhi sebanyak 12 pingat emas pada 2010.

-- BERNAMA