Jabatan Belia Dan Sukan Kelantan Peruntuk RM130,000 Laksana Program Ramadan

Last update: 10/07/2014

PASIR PUTEH, 10 Julai (Bernama) -- Jabatan Belia dan Sukan Kelantan memperuntukkan RM130,000 bagi melaksanakan program tadarus al-Quran dan Rakan Muda Ramadan selama 20 hari bermula 1 Julai lepas.

Pengarahnya, Mohd Sulji Zakaria berkata sebanyak 100 buah masjid dan surau dipilih bagi melaksanakan kedua-dua program berkenaan.

"Kedua-dua program itu disertai antara 3,000 dan 4,000 belia terutama mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun," katanya kepada pemberita pada majlis jelajah imarah Ramadan Majlis Belia Malaysia di sini, Rabu malam.

Sulji berkata guru agama di kawasan masing-masing membimbing mereka membaca kitab suci itu selepas menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.

-- BERNAMA