Dua Atlet Boling Sarawak Dipanggil Wakili Negara Dalam Kejohanan Remaja Dunia Di Hong Kong

Last update: 06/07/2014

KUCHING, 6 Julai (Bernama) -- Dua atlet boling Sarawak, Jonathan Ding Sagan dan Nerosha Keligit Thiagarajan dipanggil mewakili negara dalam Kejohanan Boling Tenpin Remaja Dunia ke-13 di Hong Kong, bulan depan.



"Saya bersyukur kerana dipilih menyertai kem latihan kebangsaan bagi kejohanan di Hong Kong itu dan saya akan berusaha keras untuk menyiapkan diri dan menyumbang sesuatu bagi skuad remaja kebangsaan dalam kejohanan itu," kata Jonathan.



Mereka adalah sebahagian daripada empat atlet lelaki dan empat atlet wanita mewakili negara untuk merebut gelaran dalam kejohanan itu yang akan diadakan di Pusat Boling Persatuan Olahraga Selatan China di Hong Kong mulai 6 hingga 15 Ogos.



Jonathan dan Nerosha adalah pemenang pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) XVII Perlis.



Jonathan memenangi dua pingat emas dalam acara masters dan berpasukan manakala Nerosha menggondol emas dalam acara berpasangan wanita dan perak dalam acara all-events (keseluruhan) dan berpasukan, di Sukma Perlis bulan lalu.



"Kami gembira kerana Jonathan dan Nerosha dipanggil mewakili skuad remaja kebangsaan untuk kejohanan di Hong Kong dan kami yakin mereka akan memberi cabaran sengit di kejohanan itu," kata timbalan presiden Persatuan Boling Amatur Sarawak (ABAS) Robert Lu.



Lu berkata alangkah baik sekiranya dapat melihat seorang lagi atlet boling Sarawak menang dalam kejohanan antarabangsa selepas Jacqueline Jenelee Sijore memenangi pingat emas acara perseorangan wanita dalam kejohanan dunia di Hong Kong pada 2012.



-- BERNAMA