Datuk Sharifah Aini Meninggal Dunia Awal Pagi Sabtu

Last update: 05/07/2014

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Pah meninggal dunia awal pagi Sabtu di sebuah hospital swasta di Damansara kerana jangkitan pada paru-paru.

Allahyarhamah yang menyambut hari jadi ke-61 pada Rabu lepas meninggal kira-kira pukul 1.26 pagi setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pusat Perubatan Pakar Damansara sejak Isnin lalu setelah menghadapi kesukaran untuk bernafas.

Rakan karib beliau, Ishak Nengah memberitahu Bernama, Sharifah Aini disahkan mengidap fibrosis paru-paru sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, anak tunggal beliau, Aliff Omar berada di sisi ibunya sebelum Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir.

"Jenazah akan dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail untuk dimandi dan disembahyangkan sebelum jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zohor," kata Ishak.


Sharifah Aini yang dianugerahkan Biduanita Negara iaitu gelaran
tertinggi
negara untuk penyanyi wanita sebagai menghargai sumbangan beliau kepada industri
muzik, rakyat dan negara oleh Radio dan Television Malaysia (RTM) pada 2006,
memulakan kerjaya sebagai penyanyi selepas memenangi Pertandingan Juara
Bintang RTS (Radio Televisyen Singapura) menerusi lagu Tiga Malam pada 1968
ketika berusia 15 tahun.


Dua tahun kemudian semasa berusia 17 tahun, beliau menghasilkan album
pertama 'Seri Dewi Malam' dan diikuti album Kekasih Pujaan pada tahun yang sama.


Beliau yang mula menyanyi sejak berumur tujuh tahun terus menerus
menghasilkan album bukan sahaja dalam bahasa Malaysia tetapi juga
bahasa Inggeris hingga mencecah 93 buah dengan tujuh daripadanya adalah album
Inggeris.


Album terakhir beliau ialah album kompilasi bertajuk Timeless yang
dihasilkan pada 2006.


Lagunya Permintaan Terakhir, Hapuslah Air Matamu, Sumber Ilhamku dan
Bintang Pujaan turut dijadikan album runut bunyi.


Selain menyanyi, Sharifah Aini pada usia 23 tahun mula berjinak dalam bidang
lakonan dengan filem pertama Hapuslah Airmatamu bersama penyanyi terkenal
Indonesia, Broery Marantika pada tahun 1976, diikuti filem Sumber
Ilhamku dua tahun kemudian, Bintang Pujaan (1981), Diva Popular (2006) dan
Penanggal (2012).


Beliau juga pernah berlakon dalam drama Sesat dan teater Kuala Lumpur, Kuala
Lumpur.


Anak kelahiran Johor Baharu ini selain memenangi pelbagai anugerah dalam
negara, juga terkenal di luar negara dan pernah memenangi pertandingan Lagu Asia
Pasifik pada 1975 dan anugerah Pelakon Terbaik di Festival Filem Asia di Seoul,
Korea pada 1976 dan 1977.


Tahun lepas Sharifah Aini dianugerahkan Anugerah Gemilang Seri
Temasek pada Malam Gala Seri Temasik II di Singapura.


Beliau yang pernah menjadi juara Tilawah Al-Quran semasa kecil dan
pernah bertugas sebagai juruhebah sambilan memecah rekod Malaysia Book
of Records sebagai artis paling lama bernaung di bawah syarikat rakaman EMI
Malaysia hingga ke hari ini.


Pengarah Eksekutif Pods & Petals Giftlab ini pernah berkahwin sebanyak dua
kali, pertama dengan Ali Bakar pada 1981 dan kemudian bercerai setelah mendapat
seorang cahaya mata dan kemudian berkahwin pula dengan seorang ahli korporat
yang hanya dikenali sebagai Datuk Salleh, tetapi turut bercerai.


Sharifah Aini menerima anugerah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa
gelaran Datuk daripada kerajaan Persekutuan pada Jun 2003.



-- BERNAMA