Raja Muda Perlis Mahu Pelajar IPT Mesra Masyarakat

Last update: 25/06/2014

KANGAR, 25 Jun (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mengamalkan sikap mesra masyarakat untuk mudah menyelami masalah rakyat.

Titah baginda pelajar diharap lebih insaf dan dengan rela hati memberi bantuan dalam apa jua bentuk setelah mengenali kelompok masyarakat yang memerlukan dorongan.

"Apa sahaja bentuk ilmu yang dipelajari adalah lebih manfaat jika dikongsi bersama masyarakat selain dapat dipraktikkan sebelum menamatkan pengajian," titah baginda semasa merasmikan penutupan Minggu Mesra Siswa dan Pelancaran iM4U peringkat Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Sungai Chuchoh, Titi Tinggi dekat sini, Rabu.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Syed Faizuddin bertitah, pelajar harus melibatkan diri dengan sebanyak mungkin aktiviti membabitkan masyarakat untuk melengkapkan diri dengan aktiviti ko-kurikulum selain memberi tumpuan terhadap bidang akademik.

Baginda bertitah negara sangat memerlukan insan yang berkualiti dalam segala aspek duniawi dan ukhrawi dan penubuhan KUIPs adalah tepat dengan wawasan negara bagi melahirkan insan berkualiti.

Terdahulu, Rektor KUIPs, Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata kumpulan pertama sebanyak 103 pelajar dari Perlis, Selangor, Pulau Pinang dan Perak telah mendaftar pada 15 hingga 18 Mei lepas dan diikuti kumpulan kedua mulai 21 hingga 23 Jun lepas.

Katanya KUIPs akan mengambil pelajar dari Sabah dan Sarawak di samping pelajar luar negara, antaranya Thailand, Indonesia, Filipina dan Timor Leste, menjelang akhir tahun ini.

Untuk permulaan KUIPs menawarkan program pengajian Kursus Asasi Muamalah, Diploma Perbankan Islam, Diploma Pengajian Islam (Syariah), Diploma Pengajian Islam (Usuluddin) serta Diploma Pengurusan Harta Islam, katanya.

Selain itu, mulai tahun ini KUIPs turut menawarkan tiga program pengajian Ijazah Sarjana Muda iaitu Pentadbiran Perniagaan (Kepujian), Pentadbiran Perniagaan (Kepujian Keusahawanan) dan Perbankan dan Kewangan Islam (Kepujian).

Katanya KUIPs menjangkakan dapat menawarkan 30 program pengajian iaitu enam peringkat diploma, 13 Ijazah Sarjana Muda dan selebihnya peringkat Sarjana serta Doktor Falsafah (PhD), selepas lapan tahun beroperasi.

-- BERNAMA