UMT Anjur Program Tambatan Hati Pelajar Cemerlang

Last update: 25/06/2014

KUALA TERENGGANU, 25 Jun (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kini sedang mengorak langkah menganjurkan Program Tambatan Hati Pelajar Cemerlang bagi memastikan universiti berkenaan menjadi antara universiti pilihan pertama pelajar cemerlang di seluruh negara.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMT, Prof Dr Noor Azhar Mohamed Shazili berkata program bertemakan 'Expert Back To Alma Mater' itu akan melibatkan sebanyak 100 pensyarah UMT yang akan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai UMT.

"Alma Mater ini sebenarnya bermaksud ibu angkat dalam bahasa Latin dan melalui program ini, pensyarah di UMT akan ke sekolah masing-masing untuk menjelaskan misi, visi serta berkongsi apa sahaja maklumat mengenai UMT kepada pelajar-pelajar," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Tambatan Hati Cemerlang di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, di sini Rabu.

Menurutnya, pensyarah berkenaan akan menjadi pembimbing serta membantu pelajar membuat keputusan untuk mereka melanjutkan pelajaran selain dapat mengeratkan hubungan antara pelajar dengan pensyarah UMT.

Noor Azhar berkata, kebanyakan pelajar tidak memilih UMT kerana mereka tidak mengetahui mengenai peluang pekerjaan yang ada dengan memilih kursus yang terdapat di UMT.

"Ilmu berkaitan Sains Marin ini mempunyai peluang kerja yang banyak serta mempunyai skop pekerjaan yang luas, jadi, inilah masanya untuk UMT menarik pelajar-pelajar cemerlang supaya memilih UMT," katanya.



-- BERNAMA