Pemuda Umno Anjur Program Ihya Sepanjang Ramadan

Last update: 22/06/2014

SEREMBAN, 22 Jun (Bernama) -- Pergerakan Pemuda Umno akan menganjurkan Program Ihya Ramadan di seluruh negara sepanjang bulan puasa itu, kata Ketuanya Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata program itu akan menampilkan kelainan sedikit kali ini dengan majlis berbuka puasa diadakan di kawasan perumahan.

"Di kawasan bandar, kita akan berbuka puasa di perumahan flat kos rendah. Kita juga akan bersama (melakukannya) dengan persatuan-persatuan penduduk," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata program itu akan dilancarkan di Kuala Lumpur.

Program Ihya Ramadan bertujuan menggalakkan umat Islam merebut peluang untuk mempertingkatkan amal ibadat sepanjang bulan puasa itu.

-- BERNAMA