
Parlimen: KBS Kerjasama Dengan Kementerian Pertanian Tingkatkan Ekonomi Belia - Saravanan
Last update: 11/06/2014KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Dewan Rakyat diberitahu hari ini, Kementerian Belia dan Sukan sedang bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan agensi lain dalam menggerakkan usaha meningkatkan ekonomi belia di negara ini.
Timbalan Menterinya, Datuk M Saravanan berkata, kerjasama itu adalah satu usaha konkrit bagi membantu belia bergiat aktif dalam bidang keusahawaan dan mengelak mereka daripada terlibat dalam gejala sosial.
"Kumpulan sasar ialah belia yang keciciran daripada sekolah...kalau dua puluh tahun dahulu, wujud peluang pekerjaan di ladang bagi golongan ini tetapi sekarang, semua pekerjaan itu telah diambil oleh pekerja asing.
"Oleh itu, belia yang gagal melanjutkan pelajaran perlu mengambil kesempatan ini bagi memulakan satu perubahan dalam diri mereka dan mengubah ekonomi keluarga masing-masing," katanya kepada soalan tambahan Datuk Ghapur Salleh (BN-Kalabakan).
Ghapur ingin tahu bagaimana kementerian itu membendung aktiviti dan gejala yang kurang sihat berlaku di luar bandar.
Kepada soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang), Saravanan berkata ribuan belia menyertai konsert yang dianjurkan oleh agensi lain, namun bukan semua terlibat dalam aktiviti negatif.
"Hampir ribuan belia menyertai konsert dan mereka masih berkelakukan baik. Hanya sekumpulan kecil yang terlibat dalam aktiviti merosakkan akidah," katanya.
Siti Zailah ingin tahu bagaimana kementerian boleh bantu menyediakan program alternatif bagi mengelakkan belia mudah terpengaruh dengan konsert.
Sehubungan itu, Saravanan berkata kementerian telah merencana beberapa program yang dapat menangani masalah belia berisiko secara komprehensif, melalui landasan program berbentuk inklusif sosial.
Katanya, antara ialah program fokus jati diri dan sahsiah meliputi aspek pembangunan, kemahiran, kepimpinan dengan melengkapkan mereka dengan pelbagai pengetahuan.
-- BERNAMA
Tweet

