Persepsi Golongan Belia Mengenai Keselamatan Esszone Perlu Dibentuk Daripada Fakta Sahih

Last update: 08/06/2014

TAWAU, 8 Jun (Bernama) -- Persepsi belia terhadap isu keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) perlu dibentuk berdasarkan fakta sahih bagi mengelak mereka melakukan provokasi dan menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan kekeliruan dan menyulitkan keadaan.


Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek berkata ini penting memandangkan golongan belia kini mewakili sepertiga daripada keseluruhan penduduk negara atau 12.5 juta orang yang lazimnya merupakan kumpulan agresif yang sentiasa inginkan perubahan.


"Bagaimanapun dalam masa sama, mereka juga tidak terlepas dari cabaran yang wujud selari dengan arus pembangunan.


Oleh itu, bagi mereka yang lemah, ianya akan hanyut dan hilang hala tuju khususnya penyebaran maklumat di media sosial," katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Program Komuniti Belia Bersama Esscom Peringkat Daerah Tawau di Kampung Batu Payung, dekat sini hari ini.


Majlis pelancaran program itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.


Turut hadir  Presiden Majlis Perbandaran Tawau Datuk Ismail Mayakob dan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah Tuan Nizam Abu Bakar Titingan.


Dalam hal ini, Mohammad berkata semua pihak bertanggungjawab membimbing para belia yang mewarisi kepimpinan negara pada masa depan, ke arah kecemerlangan bagi membolehkan mereka menyumbang kepada pembangunan negara.


Melalui program itu, beliau yakin para belia akan mendapat gambaran yang jelas dan tepat mengenai isu keselamatan negara selain berpeluang mendalami fungsi dan peranan Esscom.


Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak persatuan belia di negeri ini, terutama di Esszone yang tampil bekerjasama dengan Esscom untuk menganjurkan program yang memberi manfaat kepada belia.


Mohammad turut menyarankan agar para belia menyertai pasukan sukarelawan beruniform bagi membentuk jati diri mereka sebagai insan yang berdisplin dan penuh tanggungjawab.


Esscom yang ditubuhkan pada 1 April 2013 susulan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu dipertanggungjawab menyelaras operasi pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah di Esszone.


Esszone merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau, dan daerah-daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.


-- BERNAMA