Program Pembelajaran Belia Digandakan - Menteri Belia Dan Sukan

Last update: 04/06/2014

PUTRAJAYA -- Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) akan menggandakan pengisian program pembelajarannya untuk mencapai matlamat pengambilan sebanyak 15,000 pelajar pada tahun 2015.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata penambahan sesi pembelajaran ini bermula bulan depan (Julai) dalam IKTBN dan IKBN di seluruh negara seiring dengan penambahan pengambilan pelajar baharu.

Ia bertujuan untuk merealisasikan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada kementerian tahun lepas agar IKBN diperkasa dengan melahirkan lebih banyak belia berkemahiran, katanya.

Sehubungan itu modul pembelajaran IKBN akan dimantapkan dengan menawarkan kursus tambahan bagi memastikan kebolehpasaran pelajar lepasan IKBN meningkat kepada lebih 90 peratus pada masa depan.

"Usaha menambah baik modul pembelajaran di IKBN ini mampu meningkatkan 10 peratus kadar gaji permulaan untuk graduan lepasan IKBTN dan IKBN serta pada masa yang sama IKBN akan meningkatkan hubungan yang baik dengan industri," katanya selepas merasmikan Konvokesyen IKBN ke-10 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Isnin.

Sebanyak 4,678 graduan menerima sijil dan diploma pada konvokesyen yang berlangsung selama dua hari itu.

Khairy berkata graduan IKBN adalah setaraf dengan graduan universiti kerana mereka mempunyai kemahiran yang tidak memerlukan bakal majikan mereka membazirkan masa untuk melatih mereka semula.

Katanya sistem pendidikan di negara-negara maju seperti Jerman, Korea dan Jepun turut mengambil perhatian terhadap pendidikan vokasional dan teknikal dalam melahirkan pekerja berkemahiran.

-- BERNAMA