NGO Perangi Dadah Sambil Berhibur Di Festival Belia Putrajaya 2014

Last update: 30/05/2014

PUTRAJAYA -- Malaysia Drug Free Youth Association komited membantu membanteras pengambilan dadah dalam kalangan belia melalui konsep berhibur sambil mendidik.

Jurucakap persatuan Mohd Herwan Sairon berkata sambil menghiburkan orang ramai di konsert, pemuzik yang menganggotai persatuan itu akan menasihatkan penonton supaya menjauhi dadah dan tidak merokok.

Sempena festival belia, pemuzik-pemuzik bernaung di bawah persatuan ini membuat persembahan di kawasan 'Food Festival' berhampiran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta di tapak 'Bike Festival', katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui di gerai persatuan itu di sini sempena Festival Belia Putrajaya 2014 yang bermula Khamis lepas dan berakhir Ahad lepas.

Semalam mereka turut mengadakan 'marching band against drug' dengan berarak bermula dari hadapan Kementerian Kewangan sehingga ke Kementerian Belia dan Sukan, di sini disertai kira-kira 400 orang, kata Mohd Herwan.

Dalam pada itu beliau mahu masyarakat menolak persepsi negatif yang mengaitkan muzik dengan pengambilan dadah.

"Di sinilah peranan kita untuk mengikis persepsi itu. Kementerian Belia dan Sukan sendiri mahu NGO menganjurkan pelbagai aktiviti supaya belia tidak terjebak dadah," katanya.

Mohd Herwan juga mengalu-alukan penyertaan lebih ramai belia yang hadir di Festival Belia Malaysia untuk menyertai persatuan itu yang menjanjikan pelbagai program memenuhi cita rasa anak muda.

Malaysia Drug Free Youth Association yang ditubuhkan pada 2011 dianggotai pemuzik 'underground', pemuzik indie, penggiat seni dan penggerak sukan lasak seperti papan luncur, 'inline skating' dan berbasikal BMX, yang mengamalkan kehidupan bebas dadah.

Selain hiburan, mereka turut menawarkan material untuk pendidikan, khidmat nasihat dan bantuan penyelarasan rangkaian pencegahan dadah di Malaysia.

-- BERNAMA