Kenali Pereka Muda Davis Paul Lister

Last update: 09/05/2014

PUTRAJAYA -- Menyedari keistimewaannya pandai melukis, anak muda yang berusia 23 tahun ini memanfaatkan sepenuhnya bakat tersebut untuk menceburi bidang fesyen.

Bagi pemilik nama Davis Paul Lister, fesyen bukan sekadar pakaian tetapi proses menghasilkan pakaian tersebut adalah lebih mustahak.

“Banyak proses yang perlu dilakukan sebelum terhasilnya sesuatu rekaan antaranya pemilihan fabrik, pemotongan kain, kekemasan dan jahitan,” katanya kepada Bernama.

Memulakan kerjaya mereka busana dari rumah sejak dua tahun lepas, Davis melihat perkembangan sihat industri fesyen di Malaysia sebagai batu loncatan untuk mengejar cita-citanya.

Bersandarkan keyakinan yang tinggi dan minat yang mendalam sejak di bangku sekolah lagi, anak muda kacukan Iban dan Cina ini, telah mengambil langkah berani menubuhkan label sendiri menggunakan nama DPL iaitu bersempena dengan namanya sendiri.

Bagi sesetengah pereka fesyen yang mempunyai bakat dan modal dengan segera membuka butik mereka sendiri. Tetapi lain bagi pereka muda ini, mempelajari pasaran dan mengumpul pelanggan-pelanggan terlebih dahulu adalah lebih utama sebelum membuka butik sendiri.

INSPIRASI

Menjadikan pereka fesyen terkenal Melinda Looi sebagai idolanya, Davis berpendapat penting untuk seseorang pereka fesyen mempunyai kemahiran melukis, menjahit dan memilih fabrik.

Baginya dengan mempunyai kemahiran melukis, seseorang pereka fesyen bebas menghasilkan pelbagai corak untuk rekaannya.

“Fesyen mempunyai skop yang luas, tidak terhad kepada individu, karektor tertentu, warna, citarasa dan gaya hidup. Fesyen memberi kebebasan kepada seseorang pereka untuk menghasilkan pelbagai jenis rekaan ,” kata Davis.

Menceritakan rekaannya, Davis berkata dia memberi fokus kepada rekaan baju pengantin.

“Saya menitikberatkan konsep rekaan yang ringkas, unik dan segar,” katanya yang pernah menyertai Malaysian International Fashion Week (MIFW) pada tahun 2011 dan terpilih ke peringkat separuh akhir Piala Seri Endon pada 2012.

KONSEP REKAAN

Menceritakan dengan lebih lanjut tentang konsep rekaan gaun pengantinya yang berwarna putih, Davis berkata konsep yang dipilih olehnya lebih kepada ‘garden wedding, beach wedding atau backyard wedding’.

“Semua konsep itu akan memberi idea untuk menghasilkan gaun pengantin yang mempunyai sentuhan lembut ataupun sentuhan semulajadi,” katanya

Keistimewaan rekaan DPL, menurut Davis adalah campuran idea dan sumber inspirasi yang digabung untuk menghasilkan sesuatu rekaan yang unik.

Sebagai contoh katanya dia mengambil inspirasi daripada alam semula jadi iaitu pokok dan daun serta persekitaran untuk memberi elemen eksklusif serta kelainan pada rekaan busana pengantinnya.

Bagi Davis, untuk menghasilkan rekaan yang menarik pemilihan fabrik sangat penting supaya rekaan tersebut tidak kelihatan terlampau sarat.

“Setiap fabrik mempunyai watak dan karektor tertentu, dan kebanyakan rekaan DPL saya memilih fabrik sifon, satin, renda dan kain net,” katanya.

Ingin mengenali atau maklumat lebih lanjut mengenai DPL layari www.facebook.com/davis.p.lister atau davispaullister.blogspot.com

--BERNAMA