Personaliti Televisyen Pak Cik Jamal Meninggal Dunia

Last update: 07/05/2014

PUTRAJAYA, 7 Mei (Bernama) -- Personaliti televisyen veteran, Jamal Muhamad, yang lebih dikenali sebagai Pak Cik Jamal meninggal dunia di Hospital Putrajaya di sini, Rabu.

Jamal, 75, meninggalkan seorang isteri Zainab Serat, 67, dan tiga orang anak.

Anak perempuannya Sheila berkata bapanya menghembuskan nafas terakhir di wad unit rawatan rapi (ICU) kira-kira 11 pagi setelah dimasukkan ke hospital berkenaan sejak Selasa, selepas mengadu sesak nafas.

Pak Cik Jamal sebelum ini dilaporkan beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana mengalami komplikasi jantung dan paru-paru serta sakit tulang belakang.

Allahyarham ialah personaliti televisyen popular dengan watak Speaker menerusi program Mini Parlimen terbitan RTM pada era 80-an.

Shiela berkata jenazah bapanya akan dibawa ke Masjid Jameatussolehah di pekan Dengkil untuk urusan pengebumian.

Jamal turut mengalami masalah pernafasan yang didakwa berpunca daripada penyakit ankylosing spondylitis yang dihidapi kira-kira 14 tahun lalu yang menyebabkan tulang belakangnya membengkok hingga mengganggu paru-paru.

Pada awal Januari lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah meluangkan masa melawat Jamal atau juga dikenali sebagai 'Jamal Kerdil' di rumahnya di Kampung Selangor Dredging yang ketika itu sedang uzur akibat penyakit dihidapinya.

Pada pertemuan itu, Ahmad Shabery berkata sumbangan Jamal yang dianggap beliau sebagai legenda dalam dunia penyiaran Malaysia amat bernilai kepada negara kerana rancangan 'Mini Parlimen' begitu mempengaruhi pemikiran kanak-kanak pada ketika itu.

Satu lagi program yang menjadikan Jamal sebagai ikon kepada kanak-kanak ialah 'Taman Kanak-kanak' yang bermula siaran pada 1961 dan beliau turut menerbitkan rancangan 'Pesta Pop' dan 'Pentas Aneka.

-- BERNAMA