Sidek Hussain, Kehilangan Bintang Yang Sukar Dicari Ganti

Last update: 28/04/2014

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Pelakon teater, filem dan television terkenal dengan watak jahat sejak tahun 70-an, Sidek Hussain meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira 11.55 malam tadi pada usia 63 tahun, akibat ketumbuhan di bahagian pipi kirinya sehingga beliau disahakan menghidap kanser tahap empat.

Jenazah beliau selamat dikebumikan pada pukul 10.30 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Batu 17, Kuang, Selangor.

"Saya sempat mengajarnya mengucap sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir di hadapan saya dan seorang rakannya yang menemani arwah," kata Salbiah Sulaiman, 61, isteri Allahyarham Sidek Hussain.

Allahyarham yang dimasukkan ke HKL pada 30 Mac lepas disahkan meninggal dalam tidur selepas mengambil ubat ekoran keadaannya yang semakin tenat sejak kebelakangan ini.

Sidek dikatakan dimasukkan ke hospital selepas pengsan di Chow Kit ketika berjalan bersama isterinya dan sejak itu kesihatannya semakin merosot.

Beliau turut mengalami masalah jantung dan paru-paru.

Abu Bakar Omar yang merupakan rakan Allahyarham menyifatkan pemergian Sidek sebagai satu kehilangan bintang yang sukar dicari ganti.

"Saya kenal Allahyarham sejak zaman 70-an dan 80-an lagi. Saya pernah berlakon bersama arwah dan Fauziah Ahmad Daud dalam drama Keruh di Muara. Persembahan arwah dalam drama itu cukup bagus," katanya.

Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez turut menyifatkan negara kehilangan seorang bintang veteran yang berbakat, gigih serta tabah walaupun kesihatannya kurang sihat sejak 10 tahun lepas.

"Allahyarham memainkan peranan yang cemerlang sepanjang kerjayanya," katanya.

Sidek pernah membintangi beberapa drama dan filem termasuk filem Karak pada 2011 terbitan KRU Studios sebagai pelakon pembantu.

Drama terakhir beliau ialah Paku Pontianak tahun lepas.

Allahyarham pernah memenangi beberapa anugerah antaranya Anugerah Skrin dan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Festival Filem Malaysia ke-24 pada 2011.

Allahyarham meninggalkan lima orang anak.

-- BERNAMA