Inisiatif Pemimpin Muda Perkukuh Peranan Generasi Muda Integrasi ASEAN 2015

Last update: 26/04/2014

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Delegasi Indonesia ke Bengkel Inisiatif
Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) di sini berkata inisiatif dan penganjuran
bengkel itu memperkukuhkan peranan generasi muda dalam integrasi ASEAN 2015.


Aryanda Ondrio, 21, pelajar University of Indonesia dan presiden dua pertubuhan belia di Indonesia, berkata generasi muda adalah sebahagian daripada komponen penting integrasi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada 2015 dan harus menyertai proses secara keseluruhan ke arah integrasi.


"Kami adalah masa depan ASEAN dan akan mengambil alih kepimpinan pada masa depan. Saya fikir kita harus terlibat dalam perancangan dan proses keseluruhan integrasi 2015," kata beliau kepada BERNAMA dalam satu, Sabtu.


Bengkel Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) bertemakan 'Generasi YSEALI - Idea Diterjemahkan kepada Tindakan', berlangsung buat julung kali selama empat hari mulai Jumaat di Double Tree Hotel, di Kuala Lumpur.


Bengkel itu yang akan dihadiri 103 pemimpin muda ASEAN dari sepuluh negara anggota, dibiayai Jabatan Negara Amerika Syarikat dan ditadbirkan oleh StartupMalaysia.org. Ia merupakan program latihan di bawah Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) yang dicetuskan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.


YSEALI, dilancarkan pada 3 Dis tahun lepas, sebagai inisiatif baharu kerajaan Amerika Syarikat, yang antara lain bertujuan memantapkan pembangunan kepimpinan dan rangkaian dalam ASEAN, meningkatkan penyertaan pemimpin muda pelbagai sektor kritikal dan memperkukuhkan hubungan antara rakyat Amerika Syarikat dengan pemimpin muda rantau ini.


Mengulas tentang bengkel itu, Aryanda berkata ianya menghubungkan semua generasi muda dalam ASEAN dan menjadi platform peserta untuk berkongsi pandangan dan melaksanakannya di negara masing-masing.


"Ia bukan sekadar bagaimana kita bercakap, bagaimana kita belajar tetapi ia lebih menjurus kepada bagaimana kita membantu masyarakat. Inilah ciri-ciri utama projek. Kami generasi muda dan kami tidak mempunyai wang tetapi kami mempunyai idea," kata beliau.


Bagi peserta Vietnam, Le Thi Bich Nguyet, 27, seorang guru bahasa Inggeris, inisiatif itu amat praktikal bagi peserta berkongsi pendapat dan projek yang akan dilaksanakan dalam kehidupan sebenar selepas berakhirnya bengkel jika mendapat pembiayaan.


Ketika ditanya tentang perbincangan dengan Obama, Ahad, pada sesi perjumpaan awam, pemimpin muda ini seolah-olah tiada kata-kata untuk diucapkan hanya menyatakan keterujaan mereka dan telah mempersiapkan diri dengan isu yang akan dibincangkan bersama Obama.


Seorang alumni Jabatan Negara Amerika Syarikat, Lay Soukim, 23, dari Kemboja berkata beliau menjangka sesi dengan Obama itu akan berlangsung secara perbincangan untuk membolehkan peserta berkongsi pandangan dan memberitahu Presiden tentang masalah yang mereka hadapi di negara masing-masing.


"Saya percaya Presiden (Obama) ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kita kerana kita adalah daripada generasi muda, kita adalah pemimpin masa depan. Jika kita tidak bersuara, siapa pula yang akan bersuara.


"Saya menjangka Presiden akan memahami masalah kita dan akan terus berhubung dengan kita, memberi sokongan dan galakan untuk terus menyokong usaha dan projek yang kita jalankan hari ini dan dua hari akan datang," kata Lay.


Mengulas tentang lawatan Obama, peserta dari Filipina, Tobit Cruz, 24, seorang pekerja pertubuhan bukan kerajaan, berharap sesi hari Ahad akan dapat menentukan titik kerjasama antara generasi muda ASEAN dengan Amerika.


Menurut beliau, ini akan membolehkan peserta YSEALI mengenal pasti jenis sumbangan yang boleh diberi untuk membangunkan rantau ini dan melahirkan lebih banyak pemimpin generasi muda dalam ASEAN.


Presiden Obama dijadual menghadiri sesi perjumpaan awam dengan peserta YSEALI di Universiti Malaya di Kuala Lumpur. Program itu adalah sebahagian daripada jadual lawatan presiden Amerika Syarikat itu selama tiga hari ke Malaysia, bermula Sabtu.


--BERNAMA