Festival Hari Belia 2014 Lebih Tumpu Kepada Kualiti - Khairy

Last update: 24/04/2014

PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- Festival Belia Putrajaya 2014 yang akan bermula dari 23 hingga 25 Mei ini akan lebih menumpukan kepada program berkualiti berbanding sasaran mengumpul lebih dua juta belia seperti sebelum ini, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Katanya konsep festival tahunan kali ini juga berbeza kerana ia tidak hanya tertumpu di Putrajaya sebaliknya turut memfokuskan belia di daerah dan negeri seluruh negara dengan pelbagai program bersesuaian.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno berkata sambutan tahun ini yang merangkumi lebih 60 aktiviti, lebih seimbang dan menyeluruh serta tidak hanya tertumpu kepada hiburan semata-mata.

"Segala aspek yang baik kita (kerajaan) kekalkan, cuma kita melakukan banyak penambahbaikan dari segi persembahan, bentuk festival.

Jadi saya harap ia lebih tersusun dan sesuai untuk orang muda.

"Daripada bajet yang ada sekarang, lebih 60 peratus kita berikan kepada program membabitkan daerah dan negeri, sebab lebih ramai yang dapat merasakan hari belia berbanding fokusnya kepada Putrajaya sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran Hari Belia 2014, di sini Khamis.

Katanya walaupun sambutan kali ini diperluas ke daerah dan negeri dan kemuncaknya di Putrajaya, namun kos penganjurannya lebih rendah berbanding tahun lepas.

Bertemakan 'Dari Belia Untuk Belia', beliau berkata festival itu menyediakan ruang menyemarakkan semangat belia dari seluruh negara untuk merealisasikan impian yang lebih besar serta memberi peluang kepada mereka melontarkan idea serta pandangan kreatif dalam setiap aktiviti.

Selain persembahan pentas, teater, karnival sukan, pesta kerjaya dan karnival Jom Heboh, aktiviti keagamaan seperti Tilawah Al-Quran, pertandingan nasyid dan pidato akan mewarnai festival kali ini.

"Walaupun ia diadakan dengan skala yang lebih kecil untuk menikmati yang tulen dan asli, kami tetap mempelbagaikan acara tahun ini dengan mengadakan aktiviti untuk selera semua lapisan belia," katanya.

-- BERNAMA