#RRCS4RRYC Di UUM Cetuskan Revolusi Media Sosial Belia Banteras HIV

Last update: 24/04/2014

SINTOK -- Lebih 1,000 mahasiswa dan mahasiswi Universiti Utara Malaysia (UUM) berhimpun di Dewan Tan Sri Othman di sini, Selasa, untuk menyaksikan persembahan amal #RRCS4RRYC yang dianjurkan secara bersama oleh Majlis AIDS Malaysia.

Acara santai berkonsepkan hiburan yang diselang-selikan dengan perkongsian maklumat dan pengalaman berkaitan HIV ini menyatukan Selebriti Sokongan Riben Merah (RRCS) dan Kelab Belia Riben Merah (RRYC), dua inisiatif advokasi Majlis AIDS Malaysia yang utama, dan membariskan tiga penghibur tanahair popular yang juga merupakan RRCS iaitu Najwa Latif, Fahrin Ahmad, dan Bob Yusof di atas pentas yang sama.

RRYC yang ditubuhkan pada tahun 2012 sebagai langkah kreatif menangani kadar jangkitan HIV baru yang tinggi dalam kalangan belia di negara ini kini memasuki fasa baharu dengan pelancaran kad keahlian RRYC yang diaktifkan secara bersepadu merentasi pelbagai platform media sosial.

Acara #RRCS4RRYC yang menjadi platform pengenalan kad keahlian itu sendiri telah diilhamkan oleh skala dan impak teknologi media sosial dalam menyebarkan maklumat dan mempengaruhi pemikiran pengguna khasnya golongan belia.

“Epidemik HIV kini telah mengalami perubahan dari segi trend jangkitan; bagi setiap tiga kes jangkitan HIV baru, satu dilaporkan dalam kalangan belia berumur antara 13 hingga 29 tahun,” jelas Prof. Dr. Ismail Baba, Timbalan Presiden Majlis AIDS Malaysia merangkap Penasihat Kelab Belia Riben Merah UUM.

“Justeru, respons terhadap HIV dalam kalangan belia juga sewajarnya mencerminkan peredaran trend komunikasi yang kini dikuasai oleh media sosial. Kami berharap acara #RRCS4RRYC ini dapat mencetuskan satu revolusi media sosial dalam kalangan belia untuk membanteras HIV,” tambah beliau lagi.

Kad keahlian RRYC bernilai RM 15 setahun yang telah dilancarkan dalam acara yang sama menawarkan baucar diskaun eksklusif untuk produk rakan-rakan korporat Majlis AIDS Malaysia.

Selain itu, pemegang kad turut berpeluang menyertai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan bersama-sama RRCS dan kuiz serta pertandingan dalam talian yang lain yang menawarkan hadiah-hadiah menarik seperti alat elektronik dan telefon pintar serta biasiswa untuk menghadiri persidangan HIV dan kepimpinan belia di peringkat serantau dan antarabangsa.

Di samping persembahan hiburan oleh RRCS, acara #RRCS4RRYC juga memberikan pendedahan kepada para penonton tentang pengalaman hidup dengan HIV yang telah disampaikan oleh individu yang hidup dengan HIV sendiri dan tazkirah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bertujuan untuk menghapuskan stigma terhadap orang yang hidup dengan HIV dan menggalakkan khalayak supaya menghulurkan bantuan kepada mereka tanpa prejudis.

Pada sebelah siang hari acara, satu bengkel latihan asas HIV telah diadakan untuk pembimbing rakan sebaya RRYC.

“Saya sedar program seumpama ini harus dilaksanakan dari semasa ke semasa di setiap peringkat lapisan masyarakat agar kita sentiasa peka dan prihatin terhadap masalah yang berlaku di persekitaran.

Saya percaya dengan pendedahan yang diberikan pada malam ini, ia sedikit sebanyak berguna pada masa hadapan,” ujar Prof. Madya Dr. Abdul Malek Hj. Abdul Karim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM.

“Saya berharap semua belia yang terlibat telah dapat memanfaatkan acara #RRCS4RRYC sebaik mungkin dan bersedia untuk mengorak langkah yang pertama ke arah memperkasakan diri dengan pengetahuan tentang HIV yang tepat agar risiko HIV dapat dielakkan,” komen Najwa Latif selaku Duta RRYC.

Penganjuran #RRCS4RRYC telah mendapat kerjasama daripada Kelab Belia Riben Merah UUM, Kelab Kerja Sosial UUM, Majlis Perwakilan Pelajar UUM, JAKIM, Medical Latex (Dua) Sdn Bhd, Yayasan Sime Darby, 1M4U dan Hotel EDC UUM.

-- BERNAMA