Karnival Mesra Belia 1Malaysia Di Air Putih Jumaat Dan Sabtu Ini

Last update: 23/04/2014

KEMAMAN, 23 April (Bernama) -- Sebanyak 10,000 pengunjung dijangka hadir ke Karnival Mesra Belia 1Malaysia Daerah Kemaman yang berlangsung di padang awam Bandar Cheneh Baru di Air Putih pada Jumaat dan Sabtu ini.

Karnival itu anjuran bersama pejabat Belia dan Sukan Daerah Kemaman, pejabat anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih, pejabat anggota Parlimen Kemaman dan Majlis Belia Daerah Kemaman.

Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata pelbagai acara menarik disediakan sepanjang karnival dua hari itu berlangsung melalui program berbentuk santai yang menjadi pilihan belia setempat.

"Ia bertujuan membuka ruang kepada golongan itu untuk mengetengahkan kehendak mereka dan mengurangkan jurang hubungan antara belia dan pemimpin masyuarakat setempat.

"Malah, karnival ini diharap dapat memperkukuh jati diri belia dengan semangat patriotisme dan cintakan negara melalui program sukarelawan IM4U yang turut diadakan nanti," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Antara program yang dijadual diadakan pada Jumaat ialah pertandingan futsal junior, pameran agensi kerajaan dan gerai jualan serta program khidmat masyarakat melibatkan pelajar dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) masuk desa dengan menawarkan khidmat dandanan dan solekan kepada penduduk kampung.

Wan Abdul Hakim berkata acara sukan rakyat melibatkan belia pula diadakan sebelah petang manakala program ceramah agama diadakan sebelah malam dengan tetamu undangan Ustazah Syarifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman.

"Keesokannya pula, acara sukaneka akan diteruskan dengan demosntrasi pencegahan pembakaran terbuka diadakan sebagai penutup.

"Kesemua program yang diatur ini akan mengeratkan lagi jalinan kerjasama antara semua kaum dan pemimpin serta pegawai kerajaan akan mengambil kesempatan untuk menjelaskan kepada belia berkaitan isu-isu semasa tanah air," katanya.

Orang ramai dijemput hadir sepanjang karnival itu berlangsung untuk memeriahkan lagi acara.

-- BERNAMA